Kuala Lumpur : Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim meluahkan rasa terharu kerana berpeluang merasmikan Surau Ar-Rijal bernilai RM1.5 juta yang terletak di Taman Merbau Jaya, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menurut Rizalman, surau berkenaan dibina hasil sumbangan orang ramai dan penyumbang persendirian menerusi Yayasan Rizalman Ibrahim sekali gus mencerminkan semangat kerjasama masyarakat setempat.
Beliau berkata, pembinaan surau itu membawa makna besar buat dirinya kerana tidak pernah menyangka akan terbabit secara langsung dalam usaha membina rumah ibadah untuk kegunaan komuniti.
Beliau turut tersentuh dengan komitmen penyumbang yang memungkinkan projek berkenaan disiapkan dalam tempoh setahun.
“Saya tidak pernah terfikir akan terbabit dalam pembinaan rumah Allah di kawasan ini. Namun, Allah mempermudahkan segala urusan dan saya amat bersyukur.
“Jarang ada projek yang bergantung sepenuhnya kepada dana orang ramai dan penyumbang persendirian dapat berjalan dengan begitu lancar. Ini semua adalah nikmat Allah yang sangat luar biasa,” katanya.
Menurut Rizalman, pembinaan Surau Ar-Rijal juga membuktikan keupayaan yayasan berkenaan menguruskan dana orang ramai secara amanah dan telus.
Selain membawa sentuhan pengalamannya sebagai bekas pereka fesyen, Rizalman berkata reka bentuk surau itu tetap mengekalkan unsur kesederhanaan selaras dengan fungsi utama rumah ibadah.
Katanya, nilai sebenar surau itu bukan terletak pada aspek estetik, sebaliknya pada peranannya sebagai tempat menyatukan masyarakat melalui ibadah dan aktiviti keagamaan.
Rizalman menambah, projek berkenaan turut memberi peluang kepada individu yang mungkin tidak berkesempatan membina rumah ibadah sendiri untuk sama-sama menyumbang dalam amalan yang mulia.
“Surau Ar-Rijal menjadi bukti kesungguhan dan keikhlasan mampu merealisasikan sesuatu yang pada awalnya kelihatan mustahil.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan serta penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan pembinaan surau ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




