Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperkenalkan Rizq Desa 2026, penjenamaan semula daripada Program Rural Business Challenge (RBC) sebagai platform khas bagi usahawan luar bandar untuk mengembangkan perniagaan mereka melalui pertandingan rancangan perniagaan yang berstruktur dan kompetitif.
Program itu memberi penekanan kepada pembangunan usahawan desa yang berpotensi bagi meningkatkan pendapatan komuniti luar bandar dan membuka peluang pekerjaan baharu.

Rizq Desa 2026 terbuka kepada belia warganegara Malaysia berumur antara 18 hingga 40 tahun pada 31 Disember 2026 yang memiliki perusahaan atau premis perniagaan berlesen dan bertapak di kawasan luar bandar.
Program tersebut merangkumi pelbagai sektor ekonomi termasuk pertanian, pembuatan, perkhidmatan, dan pelancongan desa dengan fokus kepada pengembangan perniagaan sedia ada.
Foto arkib: Bernama
Geran kemenangan berjumlah RM4 juta disediakan untuk para peserta yang berjaya, menyediakan modal tambahan untuk memperluas operasi, meningkatkan produktiviti, memperkukuh jenama, dan menembusi pasaran baharu.
Syarat penyertaan utama Rizq Desa 2026 adalah seperti berikut:
-
Pemilik perniagaan milikan tunggal, perkongsian, atau Sdn. Bhd. yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Ordinan Perniagaan di Sabah dan Sarawak, dan telah beroperasi melebihi tiga tahun pada 1 Januari 2026.
-
Hasil jualan tahunan perniagaan tidak melebihi RM1 juta bagi tempoh tiga tahun terkini (2022–2024).
-
Perniagaan berdaftar bertapak di kawasan luar bandar.
-
Terbuka kepada kategori Pengembangan Perniagaan sahaja.
-
Peserta TIDAK berstatus senarai hitam atau muflis.
-
Peserta yang pernah menjadi pemenang RBC terdahulu atau perniagaan yang pernah menerima manfaat daripada RBC sebelum ini tidak layak menyertai Rizq Desa 2026.
-
Rancangan perniagaan yang lengkap dan mematuhi terma serta format pertandingan sahaja akan dinilai.
-
Semua permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui laman www.usahawandesa.com dan tidak boleh dikemaskini selepas dihantar.
-
Keputusan jawatankuasa KKDW adalah muktamad dan semua peserta wajib mematuhi arahan serta ketetapan kementerian.
Foto arkib: Bernama
Program berkenaan memberi kelebihan kepada usahawan desa bukan sahaja dari segi geran pembangunan, tetapi juga pendedahan kepada strategi perniagaan profesional, pembangunan rangkaian industri, serta peluang untuk meningkatkan keupayaan pengurusan dan inovasi perniagaan.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai program, syarat penyertaan dan cara memohon, layari laman rasmi KKDW di www.rurallink.gov.my.
Rizq Desa 2026 membuktikan bahawa usahawan luar bandar dengan visi dan potensi tinggi kini mempunyai platform sebenar untuk mengembangkan perniagaan mereka, membina komuniti ekonomi yang mampan dan meningkatkan kesejahteraan desa melalui inovasi serta persaingan sihat.




