am@hmetro.com.my
Shah Alam: Lebih 300 atlet, pegawai dan jurulatih kontinjen Selangor menerima insentif keseluruhan berjumlah RM1.5 juta (RM1,504,300) atas pencapaian cemerlang di temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak pada Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata insentif itu diberikan sebagai tanda penghargaan kepada kontinjen negeri yang berjaya meraih tempat ketiga dengan kutipan 56 pingat emas; 64 perak dan 60 gangsa.
Katanya, kerajaan negeri amat prihatin dengan segala usaha dan sumbangan yang diberikan oleh kontinjen Selangor pada kejohanan Sukma 2024.
“Majlis penyerahan insentif ini menjadi agenda penting sebagai simbol pengikitirafan kerajaan negeri kepada atlet yang bertungkus lumus mempersiapkan diri untuk temasya Sukma Sarawak. Kita sedar setiap pencapaian memerlukan usaha gigih dan berterusan.
“Pada Sukma baru-baru ini, kita hampir dapat melengkapkan sasaran 60 emas yang ditetapkan dan mencapai kedudukan tiga terbaik secara keseluruhan dengan 56 emas berjaya diraih.
“Saya percaya dengan penambahbaikan dilakukan dari segi mental, keupayaan jiwa dan raga, kita boleh mencapai kejayaan cemerlang pada Sukma yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 dan Majlis Penyerahan Insentif Sukma 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir adalah Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi. Pada majlis berkenaan, pasukan renang menjadi sukan yang menerima insentif tertinggi sebanyak RM322,900.
Manakala atlet dari sukan renang, Andrew Goh Zheng Yin menjadi penerima insentif tertinggi secara individu berjumlah RM52,000.
Pada majlis yang sama, Amirudin turut menyampaikan anugerah kepada atlet Selangor yang cemerlang pada 2023 yang masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan RM10,000.
Anugerah Jurulatih Terbaik Wanita dimenangi Tan Ee Shye (Bola Keranjang); Anugerah Jurulatih Terbaik Lelaki, Gerald Samuel (Tenpin Bowling).
Olahragawati Harapan 2023 dimenangi Yong Ann Tung (basikal) manakala Olahragawan Harapan 2023 dimenangi Tey Hong Yu (Ping Pong).
Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan diberikan kepada Presiden Karate Do Selangor, Datuk M Panneerselvam.
Anugerah Olahragawati 2023 diberikan kepada Natasha Roslan (Tenpin Bowling) dan Anugerah Olahragawan 2023 diberikan kepada Soh Wai Ching (Larian Menara).
© New Straits Times Press (M) Bhd