RM100 juta untuk Program Pembangunan Peneroka 2021

RM100 juta untuk Program Pembangunan Peneroka 2021

bhnews@bh.com.my

JEMPOL: Kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi melaksanakan Program Pembangunan Peneroka (PPP) di tanah rancangan FELDA di seluruh negara tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata PPP merangkumi pelbagai projek pertanian dan ternakan membabitkan secara individu atau koperasi.

Katanya, tahun lalu kerajaan memperuntukkan RM138 juta kepada FELDA bagi PPP di seluruh negara.

“Halia menjadi fokus utama PPP dengan FELDA Wilayah Raja Alias akan menerima peruntukan RM10 juta sekali gus menjadi pusat tanaman halia negara.

“Ketika ini import halia terutama dari China berjumlah RM200 juta setahun dan PPP antara usaha kerajaan mengurangkan import bahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke kebun halia muda Amran Mahat di FELDA Raja Alias Satu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Mustapa berkata ketika ini terdapat 132 projek PPP membabitkan 63 projek individu dan 69 projek diusahakan koperasi.

Katanya, PPP mampu memberi pendapatan tambahan kepada peneroka jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh seperti Amran yang meraih sehingga RM1,500 sebulan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata peneroka FELDA ketika ini mampu menarik nafas lega berikutan peningkatan harga Buah Tandan Segar ( BTS ) yang mencecah RM900 satu tan.

Katanya, ketika ini purata peneroka FELDA menerima pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

“Kenaikan harga BTS berikutan kenaikan harga minyak sawit RM4,500 satu tan dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top