RM12.901 juta untuk baik pulih klinik daif di Pahang

RM12.901 juta untuk baik pulih klinik daif di Pahang

KUANTAN – Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM12.901 juta bagi pelaksanaan projek baik pulih klinik daif di Pahang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, 42 klinik daif akan dibaik pulih di negeri ini pada tahun ini, melibatkan semua daerah.

“Proses perolehan telah selesai dan kita sedang menunggu proses seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Klinik Kesihatan Bukit Goh di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Lawatan ke klinik kesihatan itu merupakan sebahagian pengisian lawatan kerja dua hari ke Pahang bermula hari ini, yang antara lain bertujuan meninjau fasiliti kesihatan yang perlu ditambah baik bagi menampung keperluan semakin meningkat. – Bernama