am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya susulan pertengkaran mengenai wang berjumlah RM20.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Risdi Baharuddin, 29, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 31 Januari 2025.
Risdi yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri turut dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, lelaki warga Indonesia berkenaan didakwa menyebabkan kematian Jiecy Rondian, yang juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang berkemungkinan mengakibatkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025 di kuarters pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, daerah Papar.
Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Risdi pada mulanya didakwa atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lovely Natasha Charles, manakala Risdi diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan mengenai pergaduhan di kuarters pekerja ladang berkenaan jam 8.10 malam pada hari kejadian.
Siasatan mendapati Risdi dan mangsa bekerja di ladang yang sama serta tinggal bersama isteri masing-masing di kuarters berdekatan.
Pertengkaran bermula apabila timbul isu wang RM20 yang dipinjam Risdi daripada isteri mangsa sebelum keadaan menjadi tegang apabila mangsa mengeluarkan kata-kata sindiran mengenai wang berkenaan.
Beberapa individu campur tangan dan menasihati kedua-dua lelaki itu supaya pulang ke rumah masing-masing, sekali gus meredakan keadaan buat sementara waktu.
Bagaimanapun, pertengkaran kembali tercetus sebelum Risdi masuk ke bilik tidurnya untuk mengambil sebilah pisau berhulu kayu sepanjang kira-kira 27 sentimeter.
Walaupun isterinya cuba menghalang, namun Risdi keluar dari rumah dengan membawa pisau itu lalu menerpa ke arah mangsa serta menikam mangsa beberapa kali.
Mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Risdi melarikan diri dari kuarters berkenaan sebelum ditahan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, pada 31 Januari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




