am@hmetro.com.my
Pasir Mas: “Saya mengambil upah menjadi pembantu di gerai makan demi mengumpul wang untuk membayar yuran kemasukan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada September nanti, tiada pilihan yang saya ada kecuali usaha sendiri,” luah Putri Sofea Mohd Zabara, 18.
Bukan sahaja diuji dengan kehidupan serba kekurangan, malah hanya ibu, Zanariah Mohd Zin, 45, yang menjadi tempat bergantung harap selepas bapanya, Mohd Zabara Abdullah, 47, kini perlu dijaga seperti kanak-kanak kecil selepas menjalani pembedahan di kepala akibat kemalangan pada 2019.
Katanya, dengan upah RM20 sehari, dia berharap dapat mengumpul wang secukupnya bagi membayar yuran bernilai lebih RM700, selain mengharapkan bantuan ibu yang bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan yang tidak menentu.
“Saya anak ketiga daripada empat adik-beradik yang mana dua abang saya sudah bekerja, namun cukup untuk menampung kehidupan mereka, manakala ibu masih perlu menanggung adik yang masih bersekolah, bapa yang sakit selain nenek, Maznah Mohamad, 61, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental.
“Hidup kami sekeluarga kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, justeru saya perlu mencari inisiatif untuk mencapai impian saya ke menara gading, tidak lain tidak bukan dengan satu tujuan untuk merubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik.
“Ada saja hasrat untuk saya mencari kerja luar dari kampung ini, namun saya tidak sampai hati meninggalkan ibu yang perlu menjaga abah dan nenek kerana mereka berdua perlu dipantau sentiasa, bimbang keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Petai di sini, semalam.
Nasib Putri Sofea mendapat perhatian wakil Thirdforce di bawah Yayasan Raja Shamri, Tuan Zaimah Raja Omar, yang turut hadir ke rumahnya memberikan sumbangan kewangan selain berhasrat mengumpul dana bagi membantu anak gadis terbabit.
Dia yang menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Kejuruteraan Awam di UiTM Kampus Jengka, Pahang, mengakui masih belum membuat persiapan barangan selain buntu mencari wang untuk membeli komputer riba bagi kegunaan di universiti nanti.
“Sejujurnya, saya mahu meneruskan pengajian walaupun sedar ia memerlukan kos yang agak tinggi kerana saya sedih melihat kesusahan ibu yang terpaksa membonceng abah setiap hari dengan mengikatnya di bahagian pinggang untuk dibawa ke kebun getah.
“Ibu juga keluar bekerja dengan rasa tidak tenang, kerana nenek yang mempunyai masalah mental ditinggalkan sendirian dan sering kali hilang kerana keluar dari rumah, namun bernasib baik kerana orang kampung sentiasa membantu dengan menghantar nenek pulang,” katanya.
Menurutnya, pendapatan ibu hasil menoreh getah tidak menentu terutama ketika musim hujan dan hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) milik dan adik (bantuan persekolahan).
Katanya, mereka sekeluarga baru empat bulan tinggal di rumah sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) kerana sebelum ini hanya menyewa di kediaman yang serba daif.
© New Straits Times Press (M) Bhd