am@hmetro.com.my
Kuantan: Sejumlah RM3 bilion diperlukan untuk menukar paip usang di Pahang, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, berdasarkan rekod, Pahang mempunyai jajaran paip sepanjang 15,423 kilometer dan 23 peratus daripadanya adalah paip Asbestos Cement (AC) yang sudah usang.
“Ini (paip usang) punca utama berlakunya paip pecah dan kehilangan air fizikal yang menyumbang kepada angka air tidak berhasil (NRW) yang tinggi.
“Kalau boleh, memang kita hendak tukar semuanya sekali gus, tetapi kosnya sekitar RM3 bilion. Maka kita tetap laksanakan juga, namun secara berfasa.
“Bagi tahun ini, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menukar paip usang sepanjang 259.7 kilometer, termasuk di FELCRA Tembeling Tengah, Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Belanjawan Pahang 2026 Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Katanya, mengenai isu NRW, termasuk paip pecah, paip usang dan kehilangan air secara fizikal, kerajaan negeri melalui PAIP sentiasa berusaha menurunkan kadar NRW pada tahap yang lebih baik dan berdaya saing.
“Untuk makluman, fokus utama sebelum ini adalah memastikan rakyat menerima bekalan air terlebih dahulu.
“Oleh itu PAIP menyelesaikan permasalahan di peringkat sumber, menstabilkan kapasiti agihan serta memastikan tekanan air mencukupi di seluruh kawasan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



