harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 44 laporan di seluruh negara membabitkan kerugian RM33 juta berhubung skim pelaburan mata wang kripto disyaki palsu, UKVXE.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, terbaharu seorang lelaki tempatan membuat laporan mendakwa kerugian RM2.56 juta akibat pelaburan itu.
Menurutnya, mangsa berusia 42 tahun terjerat dengan janji manis sindiket yang menawarkan pulangan antara 10 ke 50 peratus bagi setiap transaksi pelaburan.
“Mangsa yang bekerja sebagai seorang pengurus, menyertai pelaburan berkenaan pada Julai tahun lalu selepas melihat iklan di satu halaman Facebook.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa membuat sejumlah 26 transaksi bayaran ke 14 akaun bank atas nama syarikat dan perniagaan yang berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, selepas membuat pembayaran, mangsa teruja melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan namun terpaksa berputih mata kerana tidak dapat mengeluarkan pulangan berkenaan.
Katanya, mangsa diminta untuk membuat pelbagai pembayaran dengan pelbagai alasan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan daripada akaun pelaburannya.
Menurutnya, siasatan berhubung sindiket terbabit dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Adalah dinasihatkan supaya mana-mana individu yang menyertai skim pelaburan tersebut untuk menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada syarikat terbabit.
“JSJK mengulangi bahawa semua pelaburan yang kononnya untuk mata wang kripto, dalam hampir ke semua kes yang dilaporkan, adalah sebenarnya langsung tidak membabitkan pelaburan sedemikian.
“Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan laman web mengenai laba yang diperoleh sehingga ada yang mencecah puluhan juta ringgit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd