nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri Kelantan merakamkan penghargaan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) atas peruntukan pembangunan sebanyak RM4.15 bilion yang diluluskan kepada Kelantan.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kos berkenaan untuk menampung 17 projek bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat Kelantan khususnya dalam usaha mengurangi banjir dan juga pemuliharaan pantai.
“Antara lain juga adalah pelaksanaan projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) sebagai benteng pertahanan rakyat, pelindung harta benda dan bukti kesungguhan kerajaan untuk menjamin keselamatan rakyat.
“Namun, ia perlu dilaksanakan dengan perancangan menyeluruh, kajian dan membabitkan penyertaan komuniti setempat bagi memastikan kesannya benar-benar positif dan mampan.
“RTB ini bukan sahaja mencerminkan usaha kolektif dan kerjasama semua pihak, malah ia juga membuktikan keupayaan kita untuk menyampaikan hasil kerja yang berkualiti dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Persidangan Pengurus Kanan & Jurutera Daerah JPS Malaysia 2025 yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, di sini, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Nassuruddin berkata, sebagai langkah mitigasi susulan musibah banjir yang menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal selain pertanian musnah, kerajaan bersama agensi pengurusan bencana melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk membina projek tebatan banjir, empangan dan sistem saliran yang lebih baik.
“Dalam menghadapi kesan banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini, saya sudah memohon kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera memperbaiki segala infrastruktur yang rosak melalui pendekatan yang menyeluruh dan berperingkat.
“Usaha meningkatkan kecekapan pengurusan bencana, ia akan diperkasakan oleh pihak kerajaan melalui pelan struktur perparitan dan saliran di seluruh kawasan yang terlibat dengan banjir.
“Usaha ini perlu dilaksanakan melalui pembinaan longkang konkrit dan sistem saliran mesra alam yang lebih moden,” katanya.
Mengulas lanjut, Kelantan turut meminda Enakmen Sumber Air Kelantan bagi memastikan penekanan kepada penjagaan kawasan tadahan air dan sungai, serta mengurangkan risiko pencemaran sumber air bagi memastikan keseimbangan ekologi dipelihara.
Katanya, ia untuk meningkatkan kecekapan pengurusan sumber air di negeri ini yang akan memastikan kelestarian dan kualiti air untuk kegunaan rakyat serta melindungi ekosistem semula jadi.
“Kawasan perlindungan sumber air mentah akan diwartakan untuk melindungi sumber air negeri. Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan akan memperketat peraturan pemeliharaan kawasan tadahan air untuk memastikan kelestarian dan kualiti sumber air bagi generasi masa hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd