am@hmetro.com.my
Jitra: “Wang tunai RM4,000 yang disimpan dalam rumah semuanya hangus selepas rumah mak cik terbakar pagi tadi.
“Wang itu mak cik baru terima semalam hasil bermain kutu dan bercadang mahu bina bilik mengurut kerana itulah mata pencarian selama ini tetapi segalanya musnah,” kata Fadzilah Ahmad, 69, pemilik rumah di Kampung Tok Jalai, yang musnah dalam kebakaran di sini hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian dia tiada di rumah kerana pergi mengurut di rumah pelanggannya sejak jam 8.30 pagi
“Masa balik rumah jam 11 pagi tu, mak cik nampak rumah terbakar hampir kesemuanya dan hampir pengsan kerana rumah itulah satu-satunya yang mak cik ada,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Fadzilah yang menghidap kanser ovari tahap empat berkata, selain itu barangan kemas yang ditemui dalam rumahnya itu sudah diserahkan oleh bomba.
Namun katanya, semua buku rawatan hospital serta ubat kanser yang disimpan dalam rumah terbakar.
“Mak cik sedih semuanya terbakar dan segala kenangan bersama arwah suami dulu habis musnah semuanya.
“Mak cik tiada anak dan hanya tinggal seorang diri di rumah ini namun bersyukur kerana ketika kejadian saya tiada di rumah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, panggilan diterima jam 11.11 pagi dan berjaya dikawal jam 11.37 pagi serta dipadam sepenuhnya jam 2.22 petang.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Pinang, Seberang Nyonya, Kota Sarang Semut, Padang Sera, Tunjang, Kilang Tebu, Kampung Berjaya, Air Hitam dan Jalan Kundor,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd