RM44 juta kos atasi masalah air di Rengit – Ranhill

RM44 juta kos atasi masalah air di Rengit – Ranhill

JOHOR BAHRU – Syarikat pembekal air Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd merancang untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan Rengit, Batu Pahat dengan kos RM44 juta.

Ketua Kumpulan Komunikasi Korporat Ranhill Utilities Berhad Mohd Zaffarollah Mohd Nordin berkata peruntukan itu bagi melaksanakan projek saluran paip dan tangki air Rengit, yang kini berada pada peringkat reka bentuk kejuruteraan terperinci (DED).

Beliau berkata,  projek itu melibatkan pemasangan paip baharu bersaiz 450 milimeter (mm) sepanjang 10 kilometer (km) dari Loji Rawatan Air (LRA) Parit Raja ke Parit Kadir, pemasangan paip baharu bersaiz 450mm sepanjang 11km dari Rengit ke tangki air baharu dan penambahan 4.5 juta liter di tangki Kampung Tengah.

“Rengit merupakan antara kawasan tumpuan ketika musim perayaan lepas, beberapa inisiatif segera telah dilakukan bagi menampung peningkatan mendadak ke atas bekalan air bersih di kawasan itu.

“Kita komited dalam mencari jalan penyelesaian jangka panjang yang tuntas bagi menangani masalah yang diutarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaffarollah berkata, antara inisiatif yang dilakukan di seluruh negeri ini termasuk Rengit pada musim perayaan lepas adalah inline injection menggunakan lori tangki swasta, menyediakan lori tangki dan menyediakan tangki statik.

“Kita juga dalam proses melaksanakan projek pengedaran dan pengepaman sebaris di Rengit dengan anggaran kos sebanyak RM4 juta, melibatkan pemasangan pam air baharu di Parit Kadir dan pemasangan paip baru Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 250 mm sepanjang tiga km di Jalan Rejo Sari.

“Selain itu, pemasangan paip baharu bersaiz 250 mm jenis UPVC sepanjang empat km di Jalan Rejo Sari dan projek ini telah pun siap 97 peratus,” katanya sambil menambah inisiatif itu dijangka dapat menstabilkan bekalan air di kawasan Rengit.

Mohd Zaffarollah turut mengucapkan terima kasih kepada Mohd Puad yang juga Speaker DUN Johor kerana membangkitkan isu berkenaan dan bersedia menerima teguran serta kritikan membina, demi kesejahteraan penduduk negeri itu.

Sebelum ini, Mohd Puad menulis surat terbuka kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat air itu, Tan Sri Hamdan Mohamad menerusi hantaran di laman Facebooknya yang mahukan penyelesaian menyeluruh terhadap isu bekalan air di kawasan Rengit.  – BERNAMA

Apa salahnya Ranhill buat projek CSR rawatan air laut di Kg Bumiputra? – Puad