nurul.hidayah@hmetro.com.my
Bangi: Sebanyak RM5.16 juta atau 65 peratus daripada RM7.94 juta wang yang dirampas menerusi serbuan sindiket penipuan berjaya dipulangkan kepada mangsa antara Januari hingga Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Ismail Nasution berkata, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan rakan strategik untuk membekukan dan memulangkan wang yang dicuri sindiket penipuan.
“Apa yang kita harapkan adalah supaya wang mangsa dapat dipulangkan semula kerana ia ialah keadilan yang dapat mereka rasakan.
“Caranya adalah kita kena hentikan setiap lapisan transaksi dan itu adalah perkara yang dilakukan melalui (NSRC),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Ketahanan Siber Antarabangsa ke-6 di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, penjenayah termasuk sindiket penipuan turut mengeksploitasi mangsa merentasi sempadan.
“Seramai 746 rakyat Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara bagi tempoh sehingga 28 Ogos lalu.
“Menerusi Ops Pintas Khas, PDRM berjaya menyelamatkan 138 mangsa buruh paksa dalam 77 serbuan di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, katanya, kanak-kanak juga berdepan risiko menjadi mangsa eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian.
“Dianggarkan 100,000 kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi atau penderaan seksual dalam talian setiap tahun.
“Kes bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) meningkat daripada 68 kes pada 2024 kepada 152 kes pada tahun lalu selain 100 lagi kes direkodkan sehingga pertengahan 2026,” katanya.
Beliau berkata, PDRM juga melaksanakan Ops Cyber Guardian bersama tujuh negara pada April lalu.
“Seramai 69 individu ditahan dan 498,694 fail digital dirampas termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak.
“Tangkapan dan rampasan ini menunjukkan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Global Anti-Scam Alliance menganggarkan sindiket penipuan ‘mencuri’ lebih AS$1 trilion (RM4.04 trilion) daripada orang ramai setiap tahun.
“Di Amerika Syarikat (AS), Laporan Jenayah Internet terbaru Biro Penyiasatan Persekutuan (AS) FBI merekodkan kerugian lebih AS$16 bilion (RM70 bilion) dalam tempoh setahun.
“Namun, jumlah itu hanya merangkumi mangsa yang tampil membuat laporan dan penipuan pelaburan adalah kategori tunggal terbesar,” katanya.
Katanya, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) melaporkan bahawa operasi penipuan di Asia Tenggara sahaja menjana puluhan bilion dolar setahun.
“Sesetengah anggaran meletakkan jumlah kos jenayah siber global melebihi AS$10 trilion (RM40.42 trilion) setahun iaitu lebih besar daripada gabungan ekonomi Jepun dan Jerman.
“Justeru itu, undang-undang kita juga mesti bergerak seiring dengan perkembangan semasa. Pada Julai lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Jenayah Siber,” katanya.
Menurutnya, rang undang-undang itu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang digubal hampir 30 tahun lalu.
Undang-undang baharu ini bersifat neutral dari segi teknologi. Ia menyasarkan jenayah dan bukannya peranti.
“Justeru itu, apabila penjenayah mencari ‘peralatan’ baharu, undang-undang kita tetap kukuh.
“Namun, undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi. Jenayah siber merentasi sempadan. Tindak balas kita juga mesti merentasi sempadan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

