RM500,000 lesap ditipu Datuk, Linda Rafar tanggung tekanan emosi

RM500,000 lesap ditipu Datuk, Linda Rafar tanggung tekanan emosi

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar mendedahkan kesihatan mentalnya terjejas sehingga mengalami kemurungan selepas kerugian kira-kira RM500,000 akibat ditipu seorang individu berpangkat Datuk, baru-baru ini.

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Abdul Rafar, 48, berkata, kejadian itu memberi impak besar dalam hidupnya sehingga dia terpaksa mendapatkan rawatan dan mengambil ubat yang dipreskripsikan doktor.

“Sepanjang hidup, ini kali pertama saya berdepan situasi ditipu begini. Impaknya sangat besar sehingga saya mengalami tekanan dan kemurungan.

“Di depan orang ramai, saya cuba nampak okey, tetapi hakikatnya saya terpaksa makan ubat selama tiga hari berturut-turut kerana nafas saya seolah-olah berhenti ketika tidur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Rumah Lauk, di sini, baru-baru ini.

Menurut Linda, tekanan emosi yang dialaminya berpunca daripada rasa bimbang memikirkan bilakah wang yang dipinjamkan akan dipulangkan, sehingga mengganggu tidur malamnya.

“Saya terlalu fikir bila dia nak bayar dan pulangkan duit saya. Sampai tidur pun tidak tenang dan rasa seperti diganggu,” katanya.

Tambahnya, rasa kecewa turut dirasai kerana kepercayaan yang diberikan kepada individu terbabit, yang dikatakan mempunyai hubungan dengan golongan kenamaan, dikhianati.

“Saya kenal dia dan dia berkawan dengan golongan VIP serta orang berpengaruh. Itu yang membuatkan saya lebih yakin untuk memberi pinjam wang. Kalau orang biasa, mungkin kita fikir dia tiada kemampuan untuk membayar semula,” ujarnya.

Dalam pada itu, Linda memaklumkan beliau telah melantik peguam bagi menguruskan isu pinjaman berkenaan dan mendapatkan kembali wangnya.

Katanya, kerugian yang dialami turut menjejaskan perancangannya untuk melakukan kebajikan, termasuk membantu golongan kurang berkemampuan dan pusat tahfiz.

“Saya ada niat untuk bersedekah kepada keluarga susah dan membantu pusat tahfiz. Niat ke arah kebaikan memang banyak, tetapi disebabkan perkara ini, semuanya tidak dapat dilaksanakan. Itu yang membuatkan saya lebih kecewa dan murung,” katanya.

Malah, beliau turut terpaksa membatalkan perancangan untuk membawa anak-anak menunaikan umrah serta bercuti ke London.

“Mereka bertanya mengapa rancangan itu dibatalkan, namun saya hanya memberi alasan ada penggambaran sedangkan sebenarnya tiada. Saya rasa kasihan kepada mereka,” jelasnya.

Terdahulu, pada Januari lalu, Linda meluahkan rasa berang apabila mendakwa individu berpangkat Datuk terbabit masih belum memulangkan wang yang dipinjamkan.

Scroll to Top