RM60 juta tak mustahil jadi kenyataan – Pengarah Ejen Ali

RM60 juta tak mustahil jadi kenyataan – Pengarah Ejen Ali

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah filem Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), Usamah Zaid Yasin menyifatkan sasaran kutipan sebanyak RM60 juta yang disasarkan sebelum ini tidak mustahil menjadi kenyataan dengan sokongan padu penonton.

Semalam, diumumkan jumlah terkini ‘box office’ EATM2 yang mencipta sejarah tersendiri dengan meraih RM34.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan di pawagam, sekali gus memecah rekod filem pertama pada 2019.

Usamah berkata, dia sangat berterima kasih kepada penonton di Malaysia yang menyokong EATM2 dengan menonton filem itu di pawagam bersama seisi keluarga.

“Bagi sasaran kutipan RM60 juta yang ingin diraih itu, saya serahkan kepada penonton untuk menjadikannya kenyataan. Malah, tidak mustahil juga untuk EATM2 mencapainya.

“Lagi pula, kita dapat tahu ada juga penonton yang sanggup menonton EATM2 lebih dari sekali dan berulang. Itu sudah membuatkan kami sangat berterima kasih atas sokongan berkenaan.

“Ini kerana, ada beberapa filem tempatan lain turut ditayangkan pawagam ketika ini bersama-sama dengan EATM2. Tapi, syukur Alhamdulillah Ejen Ali masih lagi dapat perhatian,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Usamah, dia juga menyerahkan keputusan kepada pihak pawagam untuk meneruskan tayangan EATM2 bagi beberapa minggu lagi mengikut sokongan daripada penonton.

“Kebiasaannya, sambutan filem di pawagam sangat baik dalam tempoh dua minggu tayangan. Selepas itu, ia akan mula berkurangan tayangannya di lokasi-lokasi tertentu.

“Apapun, bagi EATM2 ini saya percaya sambutan baik yang diterima daripada penonton akan berterusan dan macam dikatakan, tidak mustahil juga untuk sasaran RM60 juta itu berjaya,” katanya.

Terdahulu, Usamah juga memaklumkam filem EATM2 itu akan memasuki tayangan di beberapa negara Asia Tenggara seperti Singapura, Indonesia dan Kemboja secara berperingkat.

Filem sekuel EATM2 terbitan Wau Animation dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) itu bagaimanapun sebelum ini ditayangkan serentak di pawagam Malaysia dan Brunei Darussalam pada 22 Mei lalu.

Usamah juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) WAU Animation sebelum itu hadir pada sesi temubual eksklusif bersama kumpulan muzik Indonesia, Nidji yang dipilih menyanyikan lagu runut bunyi OST EATM2 berjudul Teman Sejati.

Mengenai kerjasama dengan Nidji, katanya lagu Teman Sejati itu memang sesuai menjadi OST EATM2 kerana liriknya memang menekankan hubungan erat dalam persahabatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top