suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur
Walaupun tindakan kerap diambil penguat kuasa namun masih ramai peniaga warga asing dikesan bebas berniaga pakaian berjenama tiruan, kosmetik dan peralatan elektronik sekitar ibu kota.
Tinjauan Harian Metro di beberapa pusat pemborong Chow Kit di sini mendapati kawasan berkenaan seakan dimonopoli warga asing dengan menjadikan lorong dan premis tertentu sebagai lokasi jualan.
Antara barangan yang ditawarkan termasuk pakaian berjenama, mainan serta aksesori barangan elektronik dengan harga tidak masuk akal berbanding pasaran.
Pemerhatian mendapati seorang peniaga warga asing dilihat menjual pakaian tiruan berjenama popular seperti Vans, Gucci, Oakley, Nike dan Adidas.
Menariknya, semua barangan itu dijual dengan harga serendah RM30 sehelai atau dua helai RM50 sahaja.
Ketika ditanya wartawan, peniaga terbabit mendakwa barangan itu adalah original (tulen) yang diperoleh daripada pembekal.
“Ini semua ori (tulen), saya ambil dari pembekal. Kalau beli banyak, saya boleh bagi harga lebih murah,” katanya ringkas.
Lebih mengejutkan, peniaga itu langsung tidak bimbang walaupun menjualnya secara terbuka di salah satu premis di pusat perniagaan itu.
Sementara itu, seorang lagi peniaga warga asing menawarkan pelbagai mainan termasuk patung, kereta kawalan jauh dan dron.
Barangan yang dipamerkan hanya memaparkan logo Malaysian Confirmity (MC) tanpa cop kelulusan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatannya.
Ketika ditanya harga sebuah kereta kawalan jauh, peniaga terbabit memaklumkan ia dijual pada harga RM60.
Namun selepas wartawan cuba meminta diskaun, peniaga berkenaan terus menurunkan harga secara mendadak kepada RM20.
Malah, dia dilihat memaksa pelanggan membeli dengan alasan harga yang ditawarkan jauh lebih murah berbanding kedai lain.
“Ini sudah murah. Saya kasi harga baik punya,” katanya.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana produk mainan tanpa pengesahan keselamatan bukan sahaja berisiko kepada kanak-kanak, malah taktik memaksa pembeli jelas menyalahi etika perniagaan.
Lambakan barangan tiruan serta produk tanpa kawalan bukan sahaja menjejaskan peniaga tempatan, malah memberi isyarat jelas bahawa aktiviti berkenaan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




