RM7.50, RM15 kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini

RM7.50, RM15 kadar zakat fitrah di Sabah tahun ini

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Umat Islam di Sabah dikenakan dua kadar zakat fitrah pada Ramadan tahun ini, masing-masing RM7.50 dan RM15 seorang, mengikut jenis beras yang dimakan.

Pengisytiharan kadar baharu itu dibuat Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin pada majlis pengumuman zakat fitrah 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, di sini, hari ini.

Katanya, kadar RM7.50 ditetapkan bagi umat Islam yang menggunakan beras putih import, manakala RM15 bagi mereka yang menggunakan beras wangi.

Kadar itu, katanya ditentukan berasaskan sukatan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan majoriti penduduk di Sabah.

“Saya mewakili Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan ini mengisytiharkan bahawa kadar Zakat Fitrah Sabah bagi 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bagi penduduk beragama Islam yang bermastautin di Sabah ialah bersamaan dengan dua kadar.

“Kadar pertama berjumlah RM7.50 bagi setiap umat Islam yang menggunakan beras putih import dan kadar kedua berjumlah RM15 ke atas setiap umat Islam yang menggunakan beras wangi,” katanya.

Pada tahun lalu, umat Islam di Sabah hanya dikenakan satu kadar zakat fitrah iaitu RM7.50 seorang.

Sejajar dengan itu, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS menyasarkan pungutan zakat fitrah di Sabah pada tahun ini meningkat kepada RM13 juta, berbanding RM12.3 juta yang dipungut pada Ramadan tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top