RM78 juta untuk naik taraf infrastruktur – Utusan Digital

RM78 juta untuk naik taraf infrastruktur – Utusan Digital

YAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM78 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur berhubung kerosakan akibat tragedi kepala air di Gunung Jerai di sini, Rabu lalu.

Beliau berkata, daripada keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi tujuan membaiki dan menaik taraf sistem saliran, membina dua jambatan baharu Jabatan Kerja Raya serta pembinaan Empangan Sabo fasa satu.

Sementara itu, menurutnya, sebanyak RM25 juta lagi diluluskan di bawah bantuan khas kecemasan dan bencana bagi tujuan pembaikan kemudahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemulihan sektor pelancongan desa serta pembaikan infrastruktur bekalan air masyarakat,

Katanya, peruntukan bantuan khas itu juga melibatkan kerja-kerja membaik pulih kerosakan kawasan tanaman padi, pembaikan jalan, longkang dan titi kampung.

“Sebanyak RM3 juta lagi diperuntukkan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk tujuan membaiki rumah terjejas serta bantuan-bantuan lain.

“Penyaluran peruntukan ini adalah nilai siling berdasarkan penilaian awal.

“Mungkin kalau ada keperluan lain, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor akan maklumkan kepada kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kawasan bencana di Titi Hayun di sini hari ini.

Terdahulu beliau dengan diiringi Muhammad Sanusi, melakukan lawatan kerja di kawasan-kawasan terjejas dalam daerah Kuala Muda dan Yan bagi melihat sendiri kerosakan yang berlaku.

Ismail Sabri menambah, beliau mahu supaya semua bantuan itu disegerakan agar penduduk terlibat dapat kembali menikmati kehidupan seperti sebelum ini secepat mungkin.

“Saya mahu perkara ini disegerakan. Jika dilewatkan, tentu akan menyukarkan penduduk termasuk dari aspek keselamatan.

“Sebagai contoh jika isu muka sauk di LRA itu tidak diberi perhatian, ia tentu menjejaskan bekalan air di kawasan ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Scroll to Top