RM900,000 sasaran jualan usahawan RISDA

RM900,000 sasaran jualan usahawan RISDA

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasar jualan sebanyak RM900,000 sempena Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang bermula semalam.

Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli berkata, sasaran jualan itu mampu dicapai menerusi pembabitan aktif 90 usahawan bimbingan RISDA dari seluruh negara yang mengetengahkan pelbagai produk termasuk makanan, kraftangan dan cenderahati,

“Dengan kehadiran pengunjung yang disasarkan melebihi 2 juta orang ke karnival MK3D 2025 bermula 30 Julai sehingga 3 Ogos ini, sasaran itu akan dapat direalisasikan.

“Penyertaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan untuk mendapatkan pendedahan, tetapi juga menjadi platform untuk RISDA mempromosikan entiti baharu mereka, RisSMart24,” katanya.

Menurutnya, MKD3 bukan sahaja menjadi medan promosi produk dan perkhidmatan tempatan, malah mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan komuniti luar bandar melalui pendekatan inovatif, inkulusif dan mampan selaras dengan agenda pembangunan negara.

“Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mendokong pembangunan desa melalui Aspirasi Desa MADANI, RISDA terbabit secara langsung dalam membawa usahawan bimbingan RISDA dalam MK3D bagi membolehkan mereka memasarkan produk secara langsung, serta turut mempromosikan sebuah entiti baharu RISDA yang dikenali sebagai RisSMart,” katanya.

Katanya, sepanjang MK3D 2025 berlangsung RISDA menyediakan tiga reruai iaitu Reruai Korporat RISDA, Reruai Usahawan Bimbingan RISDA dan Reruai RisSMart24 yang boleh dikunjungi orang ramai.

“Di Rerurai Korporat RISDA yang berfungsi sebagai pusat sehenti, pengunjung boleh mendapatkan informasi program pembangunan, khidmat nasihat, pameran interaktif, dan kaunter khidmat pelanggan, selain cenderahati korporat dan baucar RisSMart24.

“Reruai Usahawan Bimbingan RISDA pula menempatkan 90 usahawan terpilih yang mempamerkan produk berkualiti tinggi sebagai sebahagian daripada strategi RISDA untuk mengenal pasti dan mengangkat produk usahawan yang berpotensi tinggi.

“Reruai RisSMart24 adalah tumpuan utama RISDA di karnival ini yang mengetengahkan konsep perniagaan sektor peruncitan yang menjadi hab utama dalam memasarkan produk-produk usahawan bimbingan RISDA,” katanya.

Sempena MK3D, Zainal menyeru orang ramai untuk hadir ke MITEC bagi memberi sokongan kepada produk tempatan.

“Jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi reruai usahawan RISDA, serta reruai RisSMart iaitu hab peruncitan milikan RISDA yang menampilkan pelbagai produk tempatan berkualiti tinggi hasil daya saing dan inovasi pekebun kecil kita.

“Sokonglah usahawan desa, kenali kekuatan komuniti desa, dan alami sendiri transformasi perdesaan melalui Aspirasi Desa Madani,” katanya.

Salah seorang usahawan bimbingan RISDA, Siti Rokhiah Abdullah, 56, yang ditemui melahirkan rasa teruja apabila berpeluang menyertai MK3D.

“RISDA bukan sahaja menyediakan platform memasarkan produk kepada lebih ramai pelanggan, malah menjadi medan terbaik untuk membina jaringan niaga baharu dan memperkenalkan jenama tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai usahawan desa, peluang seperti ini sangat berharga. Selain jualan, saya dapat berinteraksi dengan ramai pembeli, usahawan lain dan juga pihak agensi yang boleh membantu saya mengembangkan perniagaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top