Robertson ikut Salah tinggalkan Liverpool

Robertson ikut Salah tinggalkan Liverpool

Liverpool: Andy Robertson bakal menamatkan karier sembilan tahunnya bersama Liverpool pada penghujung musim ini, umum juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, awla pagi tadi.

Pemain berusia 32 tahun itu sudah membuat 373 penampilan bersama kelab berkenaan, memenangi dua gelaran EPL dan Liga Juara-Juara UEFA sebagai tonggak penting dalam skuad yang mengembalikan kegemilangan Reds di bawah kendalian Jurgen Klopp.

Namun, kedudukannya semakin terpinggir musim ini selepas kehadiran Milos Kerkez dan kontraknya yang tamat hujung musim tidak akan disambung.

Kapten Scotland itu menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang akan meninggalkan Liverpool selepas Mohamed Salah turut mengumumkan akan berpisah pada akhir musim.

“Saya akan sentiasa mengimbau kenangan indah di kelab ini. Saya sudah memberikan sepenuh hati dan jiwa selama sembilan tahun dan saya tidak berasa menyesal.

“Saya berkembang sebagai seorang lelaki dan individu. Kelab ini sentiasa bermakna buat saya, begitu juga para penyokong. Ia satu perjalanan yang luar biasa,” kata Robertson.

Kurang setahun selepas menjulang gelaran liga, Liverpool melalui musim yang mengecewakan, termasuk tragedi di luar padang apabila rakan rapat Robertson, Diogo Jota, dilaporkan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai tahun lalu.

Di atas padang, pengurus, Arne Slot masih bergelut mencari keserasian terbaik dalam skuad mahal yang kini berada di tangga kelima EPL.

Liverpool turut tersingkir daripada Piala FA selepas dibelasah 0-4 oleh Manchester City hujung minggu lalu, selain tewas 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, Rabu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top