Robo.ai lantik Dr Jasem Al-Mansory sebagai CEO Alif Holding

Robo.ai lantik Dr Jasem Al-Mansory sebagai CEO Alif Holding

Kuala Lumpur: Robo.ai Inc. (NASDAQ: AIIO) melantik Dr Jasem Ibrahim Mansour Al-Mansory sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat yang dicadangkan, Alif Holding, berkuat kuasa serta-merta.

Alif Holding yang beribu pejabat di Abu Dhabi adalah kumpulan teknologi industri pintar yang bakal memberi tumpuan kepada pembangunan perisian pintar dan peralatan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Pelantikan itu melengkapkan barisan kepimpinan teras kumpulan berkenaan selepas Robo.ai sebelum ini mengumumkan pelantikan Dr Ahmed Naser Al-Raisi sebagai Pengerusi Alif Holding.

Menerusi konsep ‘Building Intelligent Industries’, Alif Holding dirancang mengendalikan dua platform bersepadu iaitu perisian pintar dan peralatan pintar.

Apabila ditubuhkan kelak, kumpulan itu akan membangunkan, mengintegrasi dan mengeluarkan sistem AI di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk digunakan dalam sektor tenaga, minyak dan gas, pelabuhan, keselamatan awam, utiliti, perlombongan, pengangkutan, bandar pintar serta infrastruktur kritikal.

Sebagai CEO, Dr Al-Mansory akan bertanggungjawab mengemudi operasi harian dan pengurusan kumpulan berkenaan.

Dari aspek tadbir urus, Lembaga Pengarah Alif Holding akan dipengerusikan Dr Al-Raisi, bekas Presiden INTERPOL, yang bertanggungjawab terhadap hala tuju strategik serta aspek keselamatan dan pematuhan peringkat tertinggi.

Pelantikan Dr Al-Mansory juga selari dengan hasrat kumpulan untuk membangunkan pasukan pengurusan kanan tempatan, dengan kedua-dua pengerusi dan CEO terdiri daripada warga UAE.

Dr Al-Mansory mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam Kementerian Dalam Negeri UAE sebelum bersara dengan pangkat Brigedier.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pemeriksa dan Pemangku Ketua Pengarah, selain pernah menjadi Pengarah Jabatan Pemeriksaan di Pejabat Ketua Pemeriksa serta Ketua Hal Ehwal Pentadbiran dan Kewangan.

Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Sumber Manusia dari University of Southampton, United Kingdom, selain Sarjana dalam Sains Kepolisan dan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Ajman University.

Beliau turut mempunyai kelayakan profesional dalam transformasi digital dan aplikasi AI.

Menurut Dr Al-Mansory, keutamaan segera beliau adalah membangunkan pasukan pengurusan berteraskan UAE selain mewujudkan sistem operasi dan tadbir urus yang kukuh.

“Keutamaan saya adalah menterjemahkan keupayaan teknologi dan pembuatan kumpulan kepada hasil yang boleh dilaksanakan, berpusat di UAE, memberi perkhidmatan kepada pasaran GCC dan berkembang ke pasaran global,” katanya.

Sementara itu, Dr Al-Raisi berkata pembentukan kumpulan itu memerlukan kepimpinan yang menggabungkan tadbir urus kukuh dengan keupayaan untuk melaksanakan strategi.

Alif Holding yang dicadangkan itu merupakan kumpulan industri AI berasaskan Abu Dhabi di bawah Robo.ai Inc dengan fokus kepada perisian dan peralatan pintar.

Robo.ai pula adalah syarikat teknologi yang membangunkan platform ekonomi mesin berasaskan AI menerusi integrasi terminal pintar, perisian AI, perkakasan pintar dan aset pintar bagi membentuk sistem operasi AI serta ekosistem berasaskan teknologi blockchain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top