KEBANGKITAN kecerdasan buatan (AI) dan automasi global sering menimbulkan persoalan tentang masa depan pekerjaan, interaksi sosial dan keseimbangan antara manusia dan mesin.
Namun bagi AGIBOT, sebuah syarikat robotik dan AI bertaraf antarabangsa, teknologi tidak dibangunkan untuk menggantikan manusia sebaliknya menambah keupayaan dan memperkukuh peranan manusia dalam dunia kerja serta kehidupan seharian.
Pendekatan berteraskan manusia atau human-centric AI inilah yang menjadi asas pembangunan robot humanoid AGIBOT, bagi syarikat itu kecanggihan teknologi hanya bermakna apabila ia dapat digunakan, dipercayai dan memberi nilai sebenar kepada masyarakat.
Berkongsi dengan Sinar Harian, Pengarah AGIBOT di Malaysia, Steven Ding berkata, ketika awal penubuhan AGIBOT, cabaran utama bukan hanya bersifat teknikal tetapi berkait rapat dengan persepsi.
“Robot humanoid pada ketika itu sering dilihat sebagai eksperimen makmal atau bahan pameran teknologi, mengagumkan dari sudut visual namun jauh daripada realiti operasi industri dan keperluan masyarakat.
“Persoalan mengenai kestabilan, kebolehpercayaan dan kegunaan sebenar sering dibangkitkan pihak berkepentingan.

Visi utama AGIBOT bukan tentang robot menggantikan manusia sebaliknya memperkasakan potensi manusia.
“Selain itu, terdapat keraguan sama ada robot humanoid mampu berfungsi secara konsisten dalam persekitaran kompleks yang melibatkan manusia, pergerakan tidak teratur dan situasi tidak dijangka,” katanya.
Justeru kepimpinan AGIBOT memilih pendekatan berdisiplin dan berpaksikan pengguna.
Robot tidak hanya diuji dalam persekitaran terkawal sebaliknya dikerahkan terus ke dunia sebenar seperti sektor hospitaliti, logistik dan ruang awam.
Jelas Steven, pendekatan ini akhirnya membentuk prinsip teras AGIBOT iaitu teknologi mesti menyelesaikan masalah sebenar manusia bukan sekadar kelihatan mengagumkan di atas pentas.
“Prinsip ini menjadi asas kepada budaya kerja syarikat yang menekankan kepraktisan, kepercayaan dan kebolehgunaan jangka panjang,” ujarnya.
Tahun 2025 menjadi momen penting dalam sejarah syarikat apabila AGIBOT berjaya melancarkan robot humanoid pengeluaran besar-besaran ke-5,168.
Pencapaian ini bukan hanya tentang jumlah yang besar malah ia membuktikan AGIBOT mampu membekalkan robot pada skala besar merentasi pelbagai sektor termasuk hospitaliti, logistik, keselamatan dan pendidikan.
Pada tahun sama, firma penyelidikan Omdia melaporkan AGIBOT sebagai peneraju global robot humanoid dengan hampir 39 peratus pegangan pasaran dunia.
AGIBOT menghantar lebih daripada 5,100 unit sekali gus lebih banyak berbanding mana-mana syarikat lain pada ketika penggunaan komersial robot humanoid di peringkat global sedang berkembang pesat.
Semua kejayaan ini menyaksikan AGIBOT menjadi antara syarikat terawal yang membuktikan bahawa robot humanoid boleh bergerak daripada konsep kepada realiti industri.
Lebih penting, AGIBOT menonjol kerana ia membangunkan robot bukan sekadar sebagai mesin tetapi sebagai rakan kolaboratif yang direka untuk beroperasi secara selamat dan semula jadi dalam persekitaran manusia.
Antara demonstrasi terbaik kemampuan AGIBOT ialah apabila robot humanoid A2 mencatat rekod Guinness dengan berjalan lebih 100 kilometer dalam tiga hari dari Suzhou ke Shanghai menjadikannya perjalanan terpanjang yang pernah dilakukan robot humanoid.
Robot tersebut mengemudi jalan raya sebenar, trafik bercampur serta permukaan tidak rata sambil mematuhi peraturan lalu lintas sekaligus membuktikan kestabilan, ketahanan dan autonominya dalam keadaan dunia sebenar dan bukan sekadar di makmal terkawal.

Pembukaan rasmi AI World Experience Centre (AIWEC) di i-City Shah Alam baru-baru ini dirasmikan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Selain mobiliti, robot AGIBOT direka untuk berkomunikasi dengan manusia menggunakan pertuturan, penglihatan dan bahasa tubuh menjadikannya sesuai untuk peranan perkhidmatan seperti kaunter penerimaan tetamu, pameran dan interaksi pelanggan.
Steven berkata, robot AGIBOT dibangunkan untuk memahami konteks dan memberi respons terhadap niat manusia, satu keperluan kritikal apabila robot semakin digunakan di ruang awam dan komersial.
Satu lagi kekuatan utama adalah platform penuh “Embodiment + AI” AGIBOT yang mengintegrasikan pergerakan, interaksi dan manipulasi dalam satu sistem tunggal.
“Pendekatan bersepadu ini membolehkan kecerdasan teras yang sama diskalakan merentasi model robot dan industri berbeza daripada sektor perkhidmatan dan pendidikan hingga logistik serta persekitaran perindustrian tanpa perlu membangunkan semula sistem dari awal.
“AGIBOT turut membuktikan keupayaannya di lantai kilang sebenar. Syarikat berjaya melaksanakan pembelajaran pengukuhan dunia sebenar di barisan pengeluaran industri, membolehkan robot mempelajari kemahiran baharu dalam masa beberapa minit dan beroperasi dengan kestabilan bertaraf industri,” katanya.
Pencapaian ini merapatkan jurang antara penyelidikan AI akademik dan aplikasi pembuatan praktikal serta menunjukkan bagaimana robot AGIBOT boleh menyesuaikan diri dengan pantas terhadap tugasan dan persekitaran yang berubah-ubah.
Gabungan ujian dunia sebenar, reka bentuk berteraskan manusia dan kesediaan pengeluaran inilah yang membezakan AGIBOT, robotnya bukan sekadar mengagumkan untuk ditonton tetapi praktikal untuk digunakan.
AGIBOT mengakui Malaysia mempunyai kepentingan strategik sebagai pintu masuk ke rantau Asia Tenggara yang dijangka menyaksikan pertumbuhan pesat dalam AI dan automasi.
Ujar Steven, Malaysia sedang membina ekosistem AI dan automasi dari peringkat asas sekaligus menawarkan peluang unik untuk kolaborasi jangka panjang.
“Berbeza dengan pasaran matang yang lebih menumpukan kepada penambahbaikan kecekapan secara berperingkat Malaysia berada dalam fasa pembentukan ekosistem digital.
“Ini membuka ruang kerjasama yang lebih mendalam antara sektor awam, industri dan institusi pendidikan dalam membangunkan penyelesaian teknologi yang sesuai dengan konteks tempatan,” katanya.
Ujarnya, misi AGIBOT di sini adalah untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian yang disesuaikan dengan keperluan tempatan daripada robot hospitaliti yang menyokong sektor pelancongan hinggalah automasi pintar dalam pembuatan, logistik dan perkhidmatan.
“Fokus kami bukan sekadar menjual perkakasan tetapi menggalakkan penerimaan teknologi, pemindahan kemahiran dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.
Namun seperti di kebanyakan negara lain, pembangunan AI dan robotik di Malaysia tidak terlepas daripada cabaran antaranya melibatkan cabaran pada peringkat ekosistem.
“Walaupun terdapat aspirasi yang tinggi, jurang kemahiran masih wujud dalam bidang seperti reka bentuk robot, integrasi AI dan pelaksanaan sistem.
“Sementara itu, infrastruktur serta rangka kerja kawal selia pula terus berkembang seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.
Bagaimanapun AGIBOT percaya semua cabaran ini boleh menjadi kekuatan sekiranya disokong oleh kerjasama yang tepat.
“AGIBOT melihat jurang tersebut sebagai peluang kolaborasi untuk membantu Malaysia membina ekosistem teknologi yang kukuh dan mampan, selari dengan aspirasi transformasi digital negara,” katanya.
Ditanya bagaimana AGIBOT merancang untuk memenuhi keperluan industri dan pengguna tempatan melalui teknologi AI dan robotik, Steven berkata, syarikat mendekati keperluan industri melalui teknologi yang praktikal dan berasaskan kes penggunaan sebenar.
“Sebagai contoh, robot kami digunakan dalam persekitaran komersial sebenar, daripada perkhidmatan kaunter penerimaan dan khidmat pandu arah hinggalah pengasingan gudang serta sokongan industri sekali gus membolehkan syarikat menilai semula operasi mereka secara menyeluruh.
“Berbanding menjual robot sebagai produk yang berdiri sendiri, kami bekerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia untuk mengintegrasikan robotik ke dalam aliran kerja sedia ada dengan memberi keutamaan kepada aspek keselamatan, kemudahan penggunaan dan hasil yang boleh diukur,” katanya.
Tambahnya, AGIBOT turut optimistik terhadap perkembangan AI dan robotik di Malaysia dan percaya negara ini berada di landasan betul untuk pertumbuhan pesat dari segi keupayaan dan infrastruktur.
“Pelancaran AI World Experience Centre oleh AGIBOT di i-City menjadi contoh bagaimana kerjasama awam-swasta dapat memperkenalkan robotik kepada orang ramai, merangsang pembangunan kemahiran serta menimbulkan minat yang lebih luas terhadap kerjaya dalam bidang AI.
“Lima tahun akan datang, AGIBOT menjangkakan Malaysia akan menyaksikan peningkatan penggunaan robotik dalam sektor yang menghadapi kekurangan tenaga kerja, tekanan produktiviti atau permintaan perkhidmatan yang sesuai dengan penyelesaian AI berperwujudan.
“Ini termasuk hospitaliti, perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan, logistik, fasiliti komersial dan pendidikan, di mana robot dapat meningkatkan kecekapan sementara pekerja manusia memberi tumpuan kepada tugasan bernilai tinggi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, penerimaan secara meluas memerlukan pelaburan dalam kesiapsiagaan tenaga kerja, termasuk latihan semula dan pengembangan pendidikan STEM, pembinaan saluran bakat tempatan serta penyelarasan rangka kerja kawal selia yang mengimbangi inovasi dengan keselamatan dan kepercayaan awam.
“AGIBOT melihat peranannya bukan sekadar sebagai penyedia teknologi, tetapi sebagai rakan kolaborasi dalam membangunkan ekosistem ini sekaligus membantu Malaysia bergerak ke arah menjadi hab serantau bagi inovasi AI dan robotik,” katanya.
Melangkah ke hadapan, AGIBOT melihat landskap global yang berkembang pesat, di mana AI berperwujudan (embodied AI) iaitu gabungan robotik maju dan kecerdasan buatan sedang beralih daripada aplikasi khusus kepada infrastruktur asas industri.
“Seiring kematangan AI fizikal, robot kini semakin berupaya beroperasi secara autonomi dalam persekitaran kompleks dan tidak berstruktur sekaligus membuka ruang penggunaan yang jauh melangkaui lantai pembuatan tradisional termasuk perkhidmatan pelanggan di ruang komersial, sokongan penjagaan kesihatan dan aplikasi keselamatan awam.
“Peralihan ini didorong oleh penemuan baharu dalam teknik pembelajaran AI dan sistem persepsi yang membolehkan robot menyesuaikan diri secara dinamik dan selamat dalam persekitaran manusia, satu trend yang dilihat sebagai fasa seterusnya dalam evolusi automasi,” kata Steven.

Pengunjung ke AIWEC berpeluang berinteraksi dengan robot humanoid secara dekat.
Menurut beliau lagi, selain pelaksanaan komersial di Malaysia dan rantau Asia-Pasifik, syarikat turut menyasarkan sektor seperti infrastruktur bandar pintar, logistik termaju, penjagaan warga emas dan pendidikan.
“Bidang-bidang ini selari dengan momentum industri ke arah pembangunan robot yang mampu belajar dan menambah baik prestasi dari masa ke semasa, satu keupayaan yang telah diperkukuh oleh AGIBOT melalui pembelajaran pengukuhan dunia sebenar dan autonomi yang boleh disesuaikan.
“Ini mencerminkan peralihan daripada automasi satu fungsi kepada kecerdasan berperwujudan yang lebih umum, di mana robot berupaya bekerjasama dengan manusia merentasi pelbagai persekitaran dan tugasan,” katanya.
Tegas Steven, visi utama AGIBOT bukan tentang robot menggantikan manusia sebaliknya memperkasakan potensi manusia.
“AGIBOT membayangkan dunia di mana robot membantu menangani keperluan sebenar masyarakat daripada menyokong populasi yang menua dan meningkatkan kebolehcapaian kepada memudahkan proses perindustrian yang lebih lestari serta membolehkan bentuk baru kerjasama manusia-mesin.
“Kami mahu menyumbang kepada masa depan di mana mesin pintar meningkatkan kesejahteraan masyarakat, mewujudkan peluang ekonomi baharu dan menjadi sebahagian daripada ekosistem teknologi yang berfokuskan manusia secara menyeluruh,”katanya.
Ringkasan AI
- Kebangkitan AI dan automasi global tidak bertujuan menggantikan manusia tetapi menambah keupayaan dan memperkukuh peranan manusia
- AGIBOT mengutamakan pendekatan human-centric AI dalam pembangunan robot humanoid untuk memberi nilai sebenar kepada masyarakat
- Pendekatan AGIBOT memastikan robotnya praktikal untuk digunakan di dunia sebenar melalui ujian di sektor hospitaliti, logistik dan ruang awam
- Pada tahun 2025, AGIBOT melancarkan robot humanoid pengeluaran besar-besaran dan menjadi peneraju global dengan pegangan pasaran hampir 39%
- AGIBOT mengakui Malaysia sebagai lokasi strategik untuk perkembangan ekosistem AI dan automasi, menawarkan peluang kolaborasi jangka panjang



