Beijing: Di atas padang bola sepak di Beijing, “T1” sedang berlatih menendang bola dan mengambil posisi permainan.
Namun, T1 bukan pemain biasa sebaliknya ia adalah robot humanoid yang memenangi pingat emas dan kini bersiap sedia untuk Kejohanan Dunia Robot Humanoid pertama yang akan berlangsung di Beijing bermula 15 Ogos ini.
T1 adalah sebahagian daripada usaha China dalam perlumbaan menguasai teknologi robot humanoid ketika negara itu berusaha untuk berdikari dalam bidang teknologi canggih.
Kejohanan itu bakal menyaksikan penyertaan lebih 20 negara dalam pelbagai acara seperti olahraga, tarian dan seni mempertahankan diri, serta aplikasi praktikal seperti pengendalian industri dan perkhidmatan perubatan.
T1 bersama dua lagi rakan sepasukan yang mewakili pasukan Hephaestus dari Universiti Tsinghua mencipta sejarah bulan lalu apabila memenangi pingat emas dalam kategori “Humanoid, saiz dewasa” di Liga RoboCup Humanoid di Brazil.
Menurut Ketua Saintis Booster Robotics, Zhao Mingguo, syarikat yang menghasilkan T1, kerajaan China sangat aktif dalam mempromosikan pembangunan robot humanoid.
“Bagi mempercepat kemajuan teknologi, kerajaan menganjurkan pelbagai pertandingan dan temasya sukan ini adalah salah satu daripadanya,” katanya.
Walaupun sesetengah pihak menganggap acara sebegini sebagai gimik, pakar industri dan peserta melihatnya sebagai dorongan penting ke arah penggunaan robot dalam dunia sebenar.
Zhao berkata, bermain bola sepak adalah satu ujian penting terhadap kemampuan robot daripada segi persepsi, membuat keputusan dan kawalan yang boleh diaplikasikan di kilang atau rumah.
Walaupun pasukan Hephaestus masih belum mampu menyaingi manusia sebenar, perlawanan bola sepak dianggap sebagai latihan berguna untuk menambah baik kemahiran robot.
“Bermain bola sepak ialah medan ujian dan latihan yang membantu kami memperhalusi keupayaan kami,” kata Zhao.
Namun seperti dalam kehidupan sebenar, untuk bergerak dari fasa latihan ke dunia sebenar menjadi satu cabaran.
© New Straits Times Press (M) Bhd