Robot teksi Baidu jatuh dalam lubang

Robot teksi Baidu jatuh dalam lubang

Beijing: Sebuah kenderaan autonomi yang dikendalikan oleh perkhidmatan roboteksi Apollo Go milik Baidu terjatuh ke dalam lubang di kawasan pembinaan ketika membawa seorang penumpang di barat daya China, lapor media tempatan.

Insiden itu berlaku pada 6 Ogos di Chongqing, menurut laporan media termasuk Southern Metropolis Daily dan Huashang Newspaper.

Penumpang wanita itu dilaporkan tidak cedera dan diselamatkan oleh orang ramai.

Video yang tular di media sosial China menunjukkan sebuah kenderaan putih dengan logo Baidu Apollo berada di dalam sebuah parit yang kelihatan seperti di kawasan pembinaan.

Seorang pemilik kedai tempatan memberitahu Huashang Newspaper bahawa tapak pembinaan itu mempunyai penghadang dan papan tanda amaran, namun tidak jelas bagaimana kenderaan itu melepasi langkah keselamatan berkenaan.

Reuters berjaya mengesahkan lokasi video media sosial itu tetapi tidak mempunyai maklumat mengenai bagaimana kereta itu boleh berada di sana.

Baidu tidak memberi respons segera kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan komen pada 8 Ogos.

Insiden itu mencetuskan perbincangan meluas di media sosial China mengenai keselamatan perkhidmatan teksi robot.

Baidu mengendalikan salah satu kumpulan kenderaan autonomi terbesar di China dan sudah menjalankan operasi teksi robot komersial di beberapa bandar termasuk Wuhan, Beijing dan Chongqing.

Syarikat itu juga baru-baru ini berusaha untuk mengembangkan perkhidmatan teksi robotnya ke pasaran global dengan menandatangani kerjasama bersama platform perkhidmatan e-panggilan Amerika Syarikat (AS), Uber Technologies dan Lyft.

Mei lalu, syarikat saingan dari China, Pony.ai, menjadi tumpuan selepas video salah sebuah keretanya terbakar di jalan di Beijing tular di media sosial.

Syarikat itu kemudian menyatakan bahawa kereta itu terbakar ketika dikendalikan oleh kakitangan perkhidmatan selepas mengalami kerosakan sistem dan tiada penumpang di dalamnya.

Tahun lalu, satu insiden di San Francisco membabitkan orang ramai yang membakar sebuah teksi robot autonomi Waymo yang memasuki jalan sesak dengan orang berpesta, mencetuskan perdebatan tentang keupayaan kereta robot untuk membuat pertimbangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top