Beijing: Dunia teknologi sekali lagi mencuri perhatian apabila robot humanoid mencipta sensasi dengan memecahkan rekod dunia dalam saingan separuh maraton di Yizhuang.
Dalam perlumbaan sejauh kira-kira 21 kilometer itu, robot berkenaan menamatkan cabaran dengan catatan 50 minit 26 saat (s), jauh lebih pantas berbanding pelari manusia terbaik pada hari sama, sekali gus mengatasi rekod dunia sedia ada 57:20s.
Apa yang lebih menarik, robot itu dilengkapi sistem navigasi autonomi dan beraksi mewakili syarikat telefon pintar China, Honor, sekali gus membuktikan kemajuan luar biasa teknologi negara berkenaan.
Sepanjang perlumbaan, penonton membanjiri laluan di selatan Beijing untuk menyaksikan ‘pertarungan’ unik antara manusia dan mesin, walaupun kedua-duanya berlari di lorong berasingan bagi mengelak insiden tidak diingini.
Ada robot yang bergerak lincah seakan pelari elit, malah gaya larian mereka mengingatkan kepada legenda pecut dunia, Usain Bolt, namun ada juga yang masih kelihatan kaku dan asas.
Perkembangan ini jelas melonjak jauh berbanding tahun lalu apabila kebanyakan robot gagal menamatkan perlumbaan, malah ada yang terjatuh berulang kali dengan masa terbaik melebihi dua jam 40 minit.
Menariknya, jumlah penyertaan robot meningkat mendadak daripada sekitar 20 kepada lebih 100 tahun ini, petanda minat dan pelaburan dalam teknologi robotik semakin berkembang pesat.
Seorang penonton, Han Chenyu mengakui kagum dengan kemajuan itu, namun dalam masa sama mengakui timbul kebimbangan terhadap masa depan pekerjaan manusia.
“Teknologi bergerak terlalu pantas. Ia mungkin mula memberi kesan kepada pekerjaan manusia,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Xie Lei yang percaya robot berpotensi menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dalam tempoh beberapa tahun, termasuk membantu kerja rumah, penjagaan warga emas atau tugasan berisiko tinggi seperti memadam kebakaran.
Perlumbaan ini bukan sekadar acara sukan, sebaliknya platform untuk menggalakkan inovasi dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik.
Malah, pelaburan dalam sektor robotik dan AI di China mencecah 73.5 bilion yuan (RM48 bilion) tahun lalu, satu angka yang menggambarkan betapa seriusnya negara itu dalam membentuk masa depan teknologi global.
Apa yang pasti, perlumbaan ini membuka mata dunia, bukan sahaja terhadap keupayaan robot, tetapi juga persoalan besar tentang masa depan manusia dalam dunia yang semakin dikuasai teknologi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




