syafil.syazwan@hmetro.com.my
Usia bukanlah penghalang bagi Search untuk terus mewarnai industri muzik dengan persembahan bertenaga di pentas berskala besar.
Terbukti, Search yang dianggotai Datuk Amy sebagai penyanyi, Nasir (bass), Hillary Ang dengan petikan gitar memukau dan Man Kidal yang memukau dengan gitar elektrik, berjaya menampilkan persembahan luar biasa di Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert ini menyaksikan Search mempersembahkan lebih 20 lagu ikonik mereka yang pernah menemani peminat setia sepanjang zaman.
Apa yang menjadikan persembahan ini lebih istimewa adalah gubahan muzik yang diberi sentuhan baharu oleh penggubah muzik antarabangsa, Rie Tsuji dan disertai oleh iringan orkestra yang menghidupkan semula lagu-lagu malar segar mereka.
Konsert dimulakan dengan persembahan ‘overture’ yang dikendalikan Datuk Mokhzani Ismail selaku konduktor bagi 27 pemuzik orkestra.
Suasana seakan-akan menyaksikan skor filem Hollywood dengan susunan muzik yang memukau serta memperlihatkan kehebatan melodi yang mampu menyentuh perasaan setiap penonton.
Sejurus selesai ‘overture’, Search menggegarkan pentas dengan lagu pembuka, Gelora Cintaku, diikuti dengan Langit & Bumi serta Nigina yang mendapat sorakan gemuruh daripada lebih 3,000 penonton yang hadir.
Alunan lagu-lagu ini menghidupkan nostalgia dalam kalangan peminat, seolah-olah membawa mereka mengimbau kembali detik-detik kegemilangan Search dalam industri muzik.
Amy turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, terutamanya peminat yang datang dari pelbagai generasi untuk memberi sokongan kepada konsert bersejarah ini.
“Banyak-banyak terima kasih kepada anda semua yang datang untuk sama-sama melayari pelayaran epik ini. Sama-sama kita berlayar. Kita akan teruskan berlayar di masa akan datang.
“Terima kasih juga kepada penganjur yang memberi kepercayaan dan menjadikan ini satu perlayaran terbaharu buat kami,” katanya.
Selepas ucapan Amy, Search meneruskan persembahan dengan rentetan lagu hit seperti Kau Pergi, Rozana, Diari Habil Qabil, Fenomena, Isi Atau Kulit, Setelah Hujan, Meniti Titian Usang dan Gadisku.
Setiap lagu yang didendangkan tidak hanya memeriahkan suasana, tetapi juga membawa setiap penonton menyusuri zaman keemasan Search.
Kehadiran orkestra yang mengiringi persembahan ini menambah dimensi baharu terhadap setiap lagu, menjadikan pengalaman menonton lebih unik dan mendalam.
Meskipun usia Amy kini mencecah 66 tahun, dia membuktikan bahawa semangat rock tidak mengenal usia.
Kehebatannya di pentas bagaikan ‘menipu’ realiti, apabila tenaga yang ditampilkan sama sekali tidak pudar, malah terus membara.
Peminat juga seakan-akan terbuai dengan persembahan energetik Amy, seolah-olah dia masih berada di puncak karier muziknya.
Antara detik paling menggamit jiwa adalah apabila Amy melantunkan lagu-lagu penuh emosi seperti Kejora, Ying & Yang dan Pelesit Kota yang diiringi dengan sorakan dan tepukan tidak henti daripada penonton.
Namun, tidak dapat dinafikan bahawa kemuncak konsert ini adalah apabila lagu-lagu ikonik Isabella dan Fantasia Bulan Madu didendangkan, mencetuskan sorakan penuh histeria daripada ribuan peminat yang tidak pernah melupakan dua lagu berhantu ini.
Sebelum konsert berakhir, Search menghadiahkan peminat dengan persembahan lagu Mentari Merah di Ufuk Timur yang diikuti dengan Bencana.
Lagu-lagu ini membawa penonton ke satu dimensi lain, di mana melodi yang mendalam dan lirik yang penuh makna bergema di seluruh dewan.
Namun, suasana terus meriah apabila Gothik Malam Edan dan Pawana dimainkan. Setiap notasi gitar dan rentak dram menambah keghairahan penonton, seolah-olah Search berjaya membangkitkan api semangat yang tidak pernah padam dalam kalangan mereka.
Walaupun konsert hampir berakhir, peminat tidak puas dan terus bersorak mahukan lebih. Tidak mahu menghampakan jiwa-jiwa yang dahagakan persembahan mereka, Search akhirnya menutup malam yang penuh magis ini dengan persembahan luar biasa lagu Tiada Lagi, yang diberi susunan muzik baharu, sekali gus menyuntik nafas segar kepada lagu malar segar ini.
Konsert Search Symphonic Live in Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah persembahan biasa.
Ia satu penanda aras yang mengingatkan kita bahawa kumpulan generasi otai masih mampu memberikan yang terbaik, asalkan persiapan dan dedikasi mereka setanding dengan semangat yang mereka semai selama ini.
Search membuktikan bahawa usia bukanlah batasan, dan dengan perancangan yang rapi, mereka mampu mengekalkan standard yang tinggi dalam setiap persembahan mereka.
Rata-rata, penonton yang melangkah keluar dari dewan konsert membawa bersama mereka senyuman puas dan rasa bangga kerana dapat menyaksikan satu lagi persembahan bersejarah daripada kumpulan legenda ini.
Malah, ramai yang berharap bahawa ini bukanlah konsert terakhir Search, dan mereka akan terus ‘berlayar’ di pentas seni muzik untuk masa yang akan datang.
Konsert ini bukan hanya sekadar hiburan, tetapi satu pelayaran nostalgia dan bukti keutuhan Search dalam landskap muzik tanah air, sekali gus memperkukuhkan lagi status mereka sebagai kumpulan rock legenda yang tidak akan dilupakan dalam sejarah muzik Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




