Rodgers letak jawatan, O'Neill kembali kendali Celtic

Rodgers letak jawatan, O'Neill kembali kendali Celtic

Glasgow: Kelab gergasi Scotland, Celtic, mengumumkan peletakan jawatan pengurus mereka Brendan Rodgers selepas permulaan musim yang mengecewakan, dengan Martin O’Neill kembali ke kelab sebagai pengurus sementara.

Celtic dalam kenyataan rasmi memaklumkan Rodgers telah menyerahkan surat peletakan jawatan dan kelab menerima keputusan itu serta-merta.

“Brendan Rodgers hari ini mengemukakan peletakan jawatannya. Ia diterima oleh kelab dan beliau akan meninggalkan tugasnya serta-merta,” jelas kenyataan Celtic.

Keputusan itu dibuat selepas tekanan meningkat terhadap Rodgers susulan beberapa keputusan buruk, termasuk kekalahan mengejut dalam kelayakan Liga Juara-Juara kepada Kairat Almaty dari Kazakhstan pada Ogos, serta tewas 1-3 kepada Hearts dalam aksi liga Ahad lalu, kekalahan kedua berturut-turut yang menyaksikan Celtic kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga.

Rodgers, 52, kembali ke Celtic Park pada 2023 untuk kali kedua dan berjaya membawa kelab itu merangkul dua kejuaraan liga berturut-turut.

Dalam tempoh pertamanya sebelum ini, beliau turut mencipta sejarah apabila memenangi treble domestik pada 2017 dan 2018.

“Kelab menghargai sumbangan Brendan sepanjang dua tempoh kejayaannya di Celtic dan mengucapkan terima kasih atas peranan yang dimainkan dalam kesinambungan kejayaan kelab,” kata kenyataan itu lagi.

Sebagai pengganti sementara, Martin O’Neill, 73, bersama bekas pemain Celtic Shaun Maloney, akan mengendalikan pasukan utama.

O’Neill bukan nama asing di kelab itu, beliau pernah membawa Celtic memenangi treble pada 2001, serta menambah tiga gelaran Premiership dan tiga Piala Scotland, selain membawa pasukan ke final Piala UEFA 2003.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top