Madrid: Primoz Roglic menyamai rekod empat kemenangan Vuelta a Espana berturut-turut awal pagi tadi sekali gus menebus kekecewaan selepas tersingkir di Tour de France.
Pelumba Slovenia itu melengkapkan lima gelaran Grand Tour dalam kariernya selepas menduduki tangga kedua dalam ujian masa di Madrid yang dimenangi Stefan Kung.
“Ia gila, sudah ada empat dan saya hanya mahu nikmatinya sekarang,” kata Roglic sebelum memeluk isterinya Lora.
Jaguh Australia Ben O’Connor muncul naib juara keseluruhan manakala pelumba Sepanyol Enric Mas melengkapkan podium.
Kemenangan itu juga bermakna Roglic, 34, terikat dengan pelumba Sepanyol Roberto Heras yang memenangi perlumbaan berprestij itu empat kali antara 2000 and 2005.
Roglic menamatkan saingan dengan 2 minit 36 saat di depan O’Connor manakala Mas ketiga (3:13).
Selepas mengharungi 81 jam, 49 minit dan 18 saat yang memenatkan, Roglic berkata: “Ini sangat menarik. Semakin anda di penghujung, anda semakin tak sabar menamatkannya.
“Terdapat banyak pengorbanan, bukan sahaja saya tetapi keluarga saya dan orang sekitar saya. Saya gembira dapat melakukannya.”
Kemenangannya juga melengkapkan dominasi Slovenia di Grand Tour 2024 selepas rakan senegara Tadej Pogacar menjuarai Giro d’Italia dan Tour de France.
© New Straits Times Press (M) Bhd




