Rogol anak saudara, juruteknik ditahan

Rogol anak saudara, juruteknik ditahan

farid_noh@bh.com.my

Kluang: Seorang juruteknik pemasang perkhidmatan jalur lebar ditahan, bagi membantu siasatan berhubung kes rogol membabitkan remaja perempuan yang juga anak saudaranya, dalam kejadian yang dipercayai berlaku dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan semalam di sebuah kediaman di Taman Matahari, di sini, susulan laporan polis dibuat mangsa, Sabtu lalu.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar 2023 ketika mangsa berusia 15 tahun dan sedang bermalam di rumah bapa saudaranya itu.

“Mangsa yang kini berusia 17 tahun memaklumkan dirinya telah dirogol ketika tidur di sebuah bilik rumah berkenaan.

“Mangsa tidak pernah menceritakan kejadian kepada sesiapa kerana takut. Namun, pada 24 Jun lalu, mangsa menerima mesej WhatsApp daripada suspek yang meminta ‘hadiah hari lahir’ dan didakwa sebagai isyarat untuk mengajak mangsa melakukan hubungan seks,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu Bahrin berkata, mangsa nekad membuat laporan polis sebelum menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Katanya, pemeriksaan pegawai perubatan mendapati terdapat kesan koyakan lama pada hymen mangsa, yang menyokong dakwaan kejadian berkenaan.

“Suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Selasa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

“Hasil siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dengan ujian air kencing turut didapati negatif. Suspek telah berkahwin namun masih belum mempunyai anak,” katanya.

Bahrin berkata, sebarang bentuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan remaja akan disiasat secara teliti tanpa kompromi.

“Kes ini mengingatkan bahawa pelaku jenayah seksual boleh datang daripada individu yang dipercayai dan rapat dengan mangsa. Justeru, ibu bapa digesa sentiasa memantau pergaulan serta perubahan tingkah laku anak-anak,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang bentuk jenayah seksual diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi balai polis berhampiran bagi memastikan keselamatan golongan rentan sentiasa terpelihara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top