Rogol anak saudara, Pak Long durjana dipenjara 26 tahun, 6 sebatan

Rogol anak saudara, Pak Long durjana dipenjara 26 tahun, 6 sebatan

am@hmetro.com.my

Seremban: Juruteknik dijatuhi hukuman penjara 26 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan merogol anak saudara perempuannya yang berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.

Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh berusia 34 tahun itu gagal membuktikan keraguan melampaui munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah meneliti keterangan aksi pendakwaan dan saksi pembelaan serta hujahan bertulis, mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan.

“Oleh yang demikian pihak pembelaan berjaya membuktikan kedua-dua pertuduhan di bawah seksyen tersebut, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Sikamat, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari dan jam 2.30 petang pada Jun 2021.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, Peguam S Kavittha, merayu tertuduh dijatuhi hukuman penjara yang singkat kerana menyara seorang anak berusia lima tahun serta seorang bapa uzur yang menghidap diabetis selain mengambil kira ia adalah kesalahan pertama tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi mencadangkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara yang berat dan sebatan memandangkan mangsa mempunyai hubungan persaudaraan dengan tertuduh, malah remaja memanggil tertuduh dengan gelaran ‘pak long’.

“Mangsa tidak sepatutnya diperlakukan sebegini. Tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk kepada mangsa yang menyebabkan mangsa mengalami trauma seumur hidup,” katanya.

Sejurus hukuman dijatuhkan, Kavittha membuat permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman, namun ditolak mahkamah kerana tiada keadaan yang istimewa dan hanya alasan peribadi tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top