Rogol budak OKU, warga emas dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

Rogol budak OKU, warga emas dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

am@hmetro.com.my

Lahad Datu: Seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan Orang Kurang Upaya (OKU) dua tahun lalu.

Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu selepas mahkamah berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu didakwa merogol mangsa, kanak-kanak perempuan (OKU) lembam berusia 10 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah tidak bernombor di Lahad Datu, pada 2024.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 Februari lalu, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri.

Terdahulu, Juhn Tao dalam hujahnya menegaskan bahawa dalam kes melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kepentingan awam (public interest) perlu diberi pertimbangan utama oleh mahkamah apatah lagi membabitkan mangsa seorang kanak-kanak OKU.

Menurutnya, mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan bagi menunjukkan bahawa masyarakat memandang serius jenayah sedemikian, sekali gus menghantar mesej jelas bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan dan akan dihukum dengan tegas.

Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top