Rogol kekasih bawah umur, tukang paip dipenjara 24 tahun, 6 sebatan

Rogol kekasih bawah umur, tukang paip dipenjara 24 tahun, 6 sebatan

am@hmetro.com.my

Muar: Seorang tukang paip dipenjara 24 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya berusia 15 tahun, bulan lalu.

Hakim Mohd Khairi Haron menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Azman Jamian, 47, selepas mengambil kira pengakuan dibuat, rayuan serta hujahan pemberatan daripada pihak pendakwaan.

Tertuduh berhadapan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dengan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta dua sebatan bagi setiap kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan kesemua hukuman penjara berjalan serentak melainkan sebatan dan ini bermakna, tertuduh perlu menjalani hukuman lapan tahun penjara dan enam sebatan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa di rumahnya dalam daerah ini, pada jam 8.30 pagi dan 12.30 tengahari, 20 dan 24 September lalu.

Seksyen 376 (1) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga ibu mangsa membuat laporan polis selepas mendapati anak perempuannya dirogol tertuduh.

Siasatan mendapati, mangsa ponteng sekolah dan berkunjung ke rumah tertuduh sebelum mereka melakukan perbuatan itu.

Tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih dengan kejadian pertama berlaku pada 20 September lalu.

Selepas kejadian itu, mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk pemeriksaan lanjut dengan tertuduh ditahan pada jam 7.22 malam, 24 September lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

From: The Tigers

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top