Rohani bersih bawa keberkatan

Rohani bersih bawa keberkatan

Ramadan bulan paling dinanti-nantikan umat Islam kerana keistimewaannya yang sarat dengan rahmat, keampunan dan pembebasan api neraka. Namun Ramadan tidak patut disambut secara rutin atau bersifat seremonial semata-mata. Sebaliknya, ia menuntut persiapan rohani (ruh) yang rapi agar setiap ibadah membuahkan taqwa dan perubahan diri. Tanpa persiapan ruh, Ramadan berisiko berlalu sebagai bulan menahan lapar dan dahaga tanpa kesan mendalam terhadap jiwa dan akhlak. Oleh itu, ada beberapa persiapan ruh yang penting dalam melangkah ke Ramadan agar kehadirannya menghidupkan hati dan memperbaharui iman.

1. Membersihkan hati dengan taubat yang sebenar

Persiapan ruh yang paling asas ialah taubat nasuha. Hati yang kotor dengan dosa ibarat bekas yang berkarat, sukar menerima limpahan rahmat Ramadan. Taubat bukan sekadar lafaz istighfar di bibir, tetapi kesedaran mendalam tentang kesalahan, penyesalan yang tulus, tekad meninggalkan dosa serta keazaman untuk tidak mengulanginya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (Surah al-Tahrim ayat 8)

Ramadan bulan pengampunan, namun pengampunan itu lebih bermakna bagi mereka yang datang dengan hati yang merendah diri dan mengakui kelemahan diri. Taubat sebelum Ramadan menjadikan ibadah puasa, qiyamullail dan tilawah al-Quran dilakukan dengan jiwa yang ringan dan bersih. Ia juga melatih kejujuran diri, kerana seseorang yang jujur dalam taubat akan lebih bersungguh-sungguh menjaga amal sepanjang Ramadan. Maka jangan tunggu hanya benar-benar berdosa baru bertaubat.

2. Meluruskan niat dan mengikhlaskan tujuan

Persiapan ruh yang kedua ialah meluruskan niat. Ramadan bukan sekadar medan meningkatkan amalan zahir, tetapi medan membina keikhlasan. Tanpa niat yang betul, amal yang banyak boleh menjadi sia-sia. Niat berpuasa, beribadah dan beramal soleh mestilah kerana Allah SWT semata-mata, bukan kerana kebiasaan, tekanan sosial atau tujuan duniawi. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Meluruskan niat sebelum Ramadan membantu seseorang menetapkan matlamat rohaninya, iaitu mencapai taqwa sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud”Wahai orang-orang yang beriman! Difardukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183)

Apabila niat diperbetulkan, setiap kepayahan dalam Ramadan lapar, dahaga dan keletihan akan dirasakan sebagai ibadah dan jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Rasai nikmat ibadah dibulan Ramadan dengan jelas bahawa kesusahan itu ujian Allah SWT bukan satu penderaan daripada Allah Taala.

3. Membina hubungan dengan al-Quran al-Karim

Semua kita mengetahui Ramadan dikenali sebagai bulan al-Quran kerana padanya diturunkan wahyu pertama. Oleh itu, persiapan ruh ketiga ialah menghidupkan hubungan dengan al-Quran sebelum Ramadan. Membaca, memahami dan mentadabbur al-Quran bukan sekadar aktiviti ritual, tetapi proses menyuburkan jiwa dengan petunjuk Ilahi. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia.” (Surah al-Baqarah ayat 185)

Mereka yang sudah membiasakan diri dengan al-Quran sebelum Ramadan akan lebih mudah mengekalkan disiplin tilawah sepanjang bulan tersebut. Al-Quran berfungsi sebagai penawar hati, pembimbing akhlak dan pengimbang emosi. Dengan al-Quran, puasa tidak hanya menahan diri daripada makan dan minum, tetapi mendidik jiwa agar menjauhi kebatilan dan keburukan. Kesedaran ini memberi kita kejelasan bahawa menjadikan al-Quran bukan sekadar berlumba-lumba khatam tetapi berlumba-lumba mendekatkan diri agar tabiat begini akan dapat diteruskan di luar Ramadan.

4. Melatih jiwa dengan disiplin ibadah dan mujahadah

Persiapan ruh yang keempat ialah membiasakan diri dengan ibadah dan mujahadah sebelum Ramadan. Ibadah seperti solat sunat, puasa sunat, zikir dan sedekah yang dilakukan secara beransur-ansur akan mempersiapkan jiwa untuk menghadapi intensiti ibadah dalam Ramadan. Rasulullah SAW sendiri memperbanyakkan puasa sunat pada bulan Syaaban sebagai persediaan menuju Ramadan. Hal ini menunjukkan persiapan rohani perlu dilakukan secara bertahap, bukan mendadak.Mujahadah melawan nafsu juga aspek penting dalam persiapan ruh. Ramadan ialah medan latihan menundukkan hawa nafsu, dan latihan ini perlu bermula lebih awal agar jiwa tidak terkejut dengan perubahan rutin ibadah dan gaya hidup.

5. Memperbaiki akhlak dan hubungan sesama manusia

Persiapan ruh yang terakhir ialah memperbaiki akhlak dan hubungan sosial. Puasa bukan hanya ibadah peribadi, tetapi ibadah yang membentuk keperibadian dan hubungan kemasyarakatan. Rasulullah SAW mengingatkan puasa boleh jadi sia-sia jika akhlak tak dijaga. Baginda bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada puasanya daripada makan dan minum.” (Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, sebelum Ramadan, seseorang perlu membersihkan hati daripada dendam, iri hati dan permusuhan. Memaafkan, berlapang dada dan perbaiki hubungan kekeluargaan serta kemasyarakatan adalah sebahagian persiapan ruh. Jiwa tenang dan hati yang damai lebih mudah merasai kemanisan ibadah dan keberkatan Ramadan.

Ramadan bukan sekadar perubahan jadual makan dan tidur, tetapi proses transformasi ruhani yang mendalam. Persiapan ruhiyyah melalui taubat, pelurusan niat, hubungan dengan al-Quran, latihan ibadah serta pembaikan akhlak merupakan asas penting agar Ramadan benar-benar menjadi madrasah tarbiah jiwa.

Persiapan ini menjadikan Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi titik perubahan menuju kehidupan yang lebih bertakwa dan beradab. Dengan persiapan ruh yang rapi, umat Islam melangkah ke Ramadan dengan hati yang hidup, jiwa yang bersedia dan harapan besar untuk meraih rahmat serta keampunan Allah SWT.

Penulis Pensyarah Kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top