BEIJING: Bahagian teras roket Long March 5B milik China dijangka terhempas ke muka bumi hujung minggu ini ke lokasi yang belum dapat dipastikan.
Bagaimanapun, Beijing cuba mengurangkan kebimbangan dunia dengan mengatakan roket modul pertama dilancarkan pada 29 April lalu itu hanya berisiko rendah serta tidak dijangka mengakibatkan kerosakan teruk.
Menurut BBC, bahagian teras roket seberat 18 tan itu adalah salah satu objek terbesar dalam beberapa dekad lalu, yang akan menjunam ke dalam atmosfera menuju bumi tanpa kawalan.
Ia adalah bahagian utama roket dengan ukuran 30 meter panjang, yang digunakan untuk melancarkan modul pertama stesen angkasa baharu China pada bulan lalu.
Menurut portal BBC, bahagian roket itu dijangka mendarat di kawasan antara latitud 41.5 darjah utara dan 41.5 darjah selatan.
Agensi angkasa Russia, Roscosmos meramalkan roket itu akan memasuki ruang atmosfera bumi selepas jam 11.30 malam GMT hari ini atau jam 7.30 pagi esok waktu Malaysia, di selatan Indonesia di perairan Laut Timor.
Jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin, berkata sebahagian besar komponen roket kemungkinan akan musnah ketika sebelum tiba di bumi.
“Kemungkinan ini menyebabkan bahaya yang sangat rendah terhadap permukaan bumi,” katanya kepada wartawan, semalam.
Tambah beliau, berkemungkinan besar roket itu atau sebagai daripadanya akan terhempas di laut, memandangkan lebih 70 peratus bumi diliputi air.
Jurucakap Pentagon, Mike Howard, berkata pihaknya berharap ia akan mendarat di tempat yang tidak membahayakan sesiapa.
“Amerika Syarikat (AS) sedang mengesan segmen titik masuk roket yang tepat ke atmosfera bumi tetapi tidak dapat menentukannya sehingga beberapa jam sebelum ketibaan serpihan roket itu.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin, berkata tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembak jatuh serpihan itu tetapi menempelak China kerana leka hingga gagal mengawal kemasukan semula serpihan dari orbit.
Menurut pakar astronomi di Observatorium Paris-PSL, Florent Delefie, melihat kepada ukuran objek, beliau yakin ada serpihan besar yang tertinggal.
“Kemungkinan serpihan mendarat di zon yang dihuni manusia adalah sangat kecil, mungkin satu dalam sejuta.
“Tahun lalu, serpihan daripada roket Long March yang lain jatuh di perkampungan di Ivory Coast, menyebabkan kerosakan struktur tetapi tiada kecederaan atau kehilangan nyawa,” katanya.
Ahli astrofizik di Pusat Astrofizik Harvard-Smithsonian, Jonathan McDowell, berkata walaupun ‘tidak perlu terlalu bimbang’, reka bentuk roket perlu difikirkan semula untuk menghentikan senario seperti itu berulang.
“Ada kemungkinan berlaku kerosakan besar termasuk risiko kemusnahan harta benda atau kehilangan nyawa.
“Senario satu tan logam akan bersepai ke bumi dengan kepantasan ratusan kilometer sejam bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh.
“China harus merancang semula misi Long-March 5B untuk mengelakkan hal seperti ini berulang,” katanya.
Menurut National Geographic pula, teras roket itu kini bergerak pada kelajuan kira-kira 28,965 kilometer sejam dan dipercayai mampu mengelilingi bumi setiap 90 minit.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan semasa lintasan roket itu di Space-track atau ikuti kemas kini The Aerospace Corporation serta LeoLabs di Twitter. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




