'Roller-coaster emosi'

'Roller-coaster emosi'

am@hmetro.com.my

BINTANG pop Britain, Ed Sheeran kembali mencuri tumpuan apabila mengumumkan pelancaran album terbaharunya berjudul Play yang dijadualkan berlangsung pada 12 September depan.

Selepas menutup lembaran siri album Mathematics, Sheeran kini kembali dan melangkah berani ke fasa baharu.

Sebagai pembuka tirai kepada pelancaran album Play, Sheeran tampil bersama lagu single Old Phone, sebuah balada akustik menyentuh tema nostalgia dan perjalanan pertumbuhan peribadi.

Album Play menyaksikan Sheeran bereksperimen dengan pelbagai genre muzik, menerusi kerjasama bersama pemuzik dan penerbit dari seluruh dunia.

Menurut Sheeran, inspirasi utama album ini termasuk pendedahannya kepada muzik tradisional India, Parsi dan muzik rakyat Ireland yang disifatkannya sebagai dekat dengan akarnya sendiri sejak kecil.

“Album ini lahir daripada fasa paling gelap dalam hidup saya.

“Saya mahu hasilkan sesuatu yang menggembirakan dan penuh warna-warni sambil meraikan budaya muzik yang saya temui ketika menjelajah dunia,” katanya.

Penyanyi lagu Perfect ini turut mendedahkan proses rakaman dilakukan di beberapa lokasi global, termasuk Goa, India yang dianggap sebagai fasa paling menyeronokkan dalam kariernya.

Sheeran menggambarkan Play sebagai satu ‘roller-coaster emosi’ yang memuatkan gabungan bunyi pop segar, balada menyentuh hati dan tema kemanusiaan yang mencerminkan perjalanannya sebagai artis, pasangan dan bapa.

Sementara itu, single Old Phone membawa pendengar menyusuri detik peribadi apabila Sheeran menemui semula mesej lama dalam telefon yang tidak digunakan sejak 2015.

Ia juga merangkumi kenangan bersama rakan, bekas kekasih dan ahli keluarga. Lagu ini dihasilkan oleh Blake Slatkin dan Ilya Salmanzadeh.

Tambah Sheeran, ia merakamkan proses refleksi terhadap masa lalu serta impaknya terhadap identiti diri.

Album Play kini boleh di pratempah manakala Old Phone sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top