Rombak skrip lapan kali

Rombak skrip lapan kali

farihad@bh.com.my

Menyorot portfolio pengarah Saw Teong Hin, boleh dikatakan setiap karya yang dihasilkan berlainan genre. Sepanjang kariernya, beliau pernah menghasilkan filem epik, Puteri Gunung Ledang (PGL) yang terus diangkat sebagai naskhah epik rujukan pembikin filem tempatan.

Teong Hin juga pernah mengarahkan filem bertemakan politik iaitu Rise: Ini Kalilah dan filem Hokkien berjudul You Mean the World to Me.

Terbaharu, Teong Hin mencabar diri apabila tampil dengan filem seram pertama sentuhannya yang diberi judul Laknat.

Teong Hin mengakui berdepan kekangan dek pertama kali mengarahkan filem seram yang andai silap percaturan, boleh menjerat diri.

Pengarah kelahiran Pulau Pinang ini mengakui tertarik menghasilkan filem Laknat kerana persoalan yang diketengahkan tidak klise seperti naskhah seram yang pernah diterbitkan sebelum ini.

“Saya tertarik dengan skrip filem ini kerana berbeza dengan filem seram lain. Persoalan yang diketengahkan dalam filem ini sangat menarik kerana ia menyentuh mengenai sifat manusia yang tidak mampu untuk membezakan antara kebenaran dan tipu muslihat.

“Syaitan sangat mudah memperdayakan manusia. Kita sendiri tidak tahu bagaimana rupa syaitan sebenar kerana ada juga syaitan yang bertopengkan manusia.

“Filem ini juga menekankan mengenai keimanan seseorang dan betapa perlunya mereka mempunyai asas agama yang kukuh supaya tidak mudah terpedaya hasutan iblis,” katanya.

Disebabkan naskhah ini sangat berat, jejaka berusia 63 tahun memberitahu, sebagai bukan Islam, skrip tulisan Nirraut Sawbaqyah perlu dibikin dengan penuh teliti kerana membabitkan soal akidah dan kepercayaan penganut agama Islam.

Teong Hin juga tidak mahu dituduh tidak peka dengan sensitiviti mereka.

Antara inisiatif yang dilakukan adalah dengan membuat banyak kali rombakan sebelum difilemkan.

“Draf akhir skrip itu saya dapat selepas melalui proses lapan kali rombakan. Sebelum diluluskan, skrip terbabit perlu dinilai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Proses itu mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana membabitkan banyak pihak. Selepas semua pihak berpuas hati, baru penggambaran dijalankan.

“Biarpun sudah diluluskan, kami tetap menyunting mana-mana babak yang dianggap terlalu ganas dan keterlaluan. Keputusan itu dibuat kerana kami tak mahu dikatakan syok sendiri.

“Kami juga enggan mengambil risiko jika babak itu boleh mengakibatkan filem Laknat diharamkan,” katanya.

Diinspirasikan daripada kisah benar, Laknat dibintangi Aeril Zafrel, Puteri Balqis, Jalil Hamid, Noorkhiriah, Mila Mohsin dan ramai lagi.

Sebagai pengarah, Teong Hin mengakui kepuasan baginya adalah apabila dapat menghasilkan karya yang bervariasi.

“Saya cepat bosan dan tidak suka hendak hasilkan karya yang berulang. Disebabkan itu, semua filem arahan saya berlainan genre.

“Ada tema epik muzikal, politik, drama kekeluargaan dan terbaharu genre seram. Saya juga terbuka dengan persaingan. Sebagai pengarah, saya cuba berikan yang terbaik.

“Sama ada dapat sambutan atau tidak, itu terpulang pada penonton yang membeli tiket. Bagaimanapun, kami tetap kena ada rasa tanggungjawab kepada pelabur yang mengeluarkan perbelanjaan untuk filem ini.

“Kalau dapat balik modal pun itu sudah memadai. Mujur ada juga pelabur yang faham pasaran filem kita agak sukar dijangka,” katanya.

Mengulas pembabitan Mila yang juga anak kepada dua pelakon berkaliber, Puan Seri Tiara Jacquelina dan Allahyarham Hani Mohsin, Teong Hin memaklumkan bakat gadis terbabit dikesan ketika dia menyaksikan sebuah pementasan muzikal.

“Saya nampak Mila ketika menyaksikan pementasan Melur The Musical. Dia ada pesona yang sangat kuat. Lakonannya juga mengagumkan.

“Cuma sebagai pelakon baharu, dia perlu ada lebih keyakinan dalam diri. Tetapi, dalam filem ini, dia tidak tenggelam dan mampu berdiri sebaris dengan pelakon senior lain,” katanya.

Laknat mengisahkan Luth lakonan Aeril yang masih dibelenggu kesedihan selepas kehilangan adik perempuannya, Laila (Puteri Balqis). Luth terperangkap dalam permainan halus iblis bernama Laqqus.

Ketika jiwanya dalam keadaan rapuh, Luth dipujuk melalui ilusi dan hasutan hingga sanggup melakukan apa saja untuk ‘menghidupkan’ kembali adiknya dan membongkar kematian tragis itu termasuk membuat perjanjian dengan syaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top