Tokyo: Tiga suspek merompak tujuh individu di sebuah jalan di tengah Tokyo pada malam 29 Januari lalu, dan melarikan diri dengan tiga beg pakaian mengandungi wang tunai sebanyak 420 juta yen (kira-kira RM10.7 juta), menurut polis.
Memetik Kyodo News, kata polis, beberapa jam kemudian, seorang lelaki diserang dengan semburan lada di sebuah tempat letak kereta di Lapangan Terbang Haneda pada awal 30 Januari ketika membawa bagasi mengandungi 190 juta yen (kira-kira RM4.8 juta), namun tiada wang dicuri.
Polis sedang menyiasat kemungkinan kedua-dua kejadian itu mempunyai kaitan.
Dalam kedua-dua kes, mangsa memaklumkan, mereka merancang untuk membawa wang tunai berkenaan dari Lapangan Terbang Haneda, ke Hong Kong.
Rompakan pertama berlaku kira-kira 9.30 malam di Wad Taito berhampiran Stesen JR Okachimachi ketika mangsa, termasuk warga Jepun dan China, memuatkan beg pakaian ke dalam sebuah kereta.
Menurut polis, seorang mangsa warga China berusia 40-an dipercayai diserang dengan semburan lada sebelum suspek melarikan diri dengan beg pakaian berkenaan.
Sementara itu, sumber penyiasatan berkata, tiga suspek dipercayai yang menaiki kereta kecil kemudian menaiki sebuah van putih yang dipandu individu lain. Pemilik berdaftar van itu mempunyai kaitan dengan seorang gangster.
Cubaan rompakan kedua pula dilaporkan 12.10 tengah malam pada 30 Januari apabila seorang lelaki warga Jepun berusia 50-an diserang dengan semburan pemedih mata oleh individu di dalam sebuah kenderaan putih.
Difahamkan, lelaki itu mengalami kecederaan ringan tetapi tetap berlepas ke Hong Kong dengan membawa wang tunainya.
Difahamkan, seorang suspek ditahan polis susulan kejadian berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




