Rompakan guna serbuk cili gagal, suspek ditempeleng 20 kali

Rompakan guna serbuk cili gagal, suspek ditempeleng 20 kali

Ahmedabad: Hasrat seorang wanita untuk merompak sebuah kedai emas di Ahmedabad, Gujarat, barat India, berakhir apabila dia ditampar hampir 20 kali dalam 25 saat oleh pekedai itu selepas rancangannya gagal, lapor NDTV.

Kejadian kira-kira 12.30 tengah hari pada 3 November lalu itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV), dan sejak itu, tular di media sosial.

Wanita itu yang mukanya ditutup dengan ‘dupatta’ memasuki kedai emas dan perak berhampiran pasar sayur Ranip di Ahmedabad dengan menyamar sebagai pelanggan.

Beberapa detik kemudian, dia tiba-tiba melemparkan serbuk cili ke arah mata pekedai dalam usaha untuk melakukan rompakan.

Bagaimanapun, serbuk cili itu gagal mengenai mata pekedai berkenaan. Menyedari niat wanita itu, lelaki terbabit segera bangun dan menamparnya berulang kali.

Wanita itu ditampar kira-kira 20 kali dalam tempoh 25 saat sebelum pekedai itu melompat ke atas kaunter dan mengheretnya keluar dari kedai sambil terus menamparnya.

Pegawai polis berkata, pekedai itu enggan memfailkan aduan berhubung kejadian itu.

Bagaimanapun, siasatan dilancarkan untuk mengesan wanita itu berdasarkan rakaman CCTV.

Polis Ahmedabad mengesahkan bahawa mereka sudah bertemu dengan pengadu sebanyak dua kali untuk menggalakkan dia membuat aduan rasmi.

Bagaimanapun katanya, ahli perniagaan itu tidak bersetuju untuk berbuat demikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top