London: Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo percaya dirinya lebih terkenal daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Saya rasa di dunia ini, tiada siapa yang lebih terkenal daripada saya,” katanya kepada Piers Morgan Uncensored di YouTube semalam sambil menyatakan beliau ingin bertemu Trump kerana “dia boleh membuat sesuatu berlaku.”
Kapten Portugal berusia 40 tahun itu menambah: “Saya berharap untuk tidak menjadi terlalu terkenal. Ia membosankan, percayalah.
“Saya mahu menjadi berjaya tetapi untuk menjadi begitu terkenal, itu bukan keinginan saya.”
Penampilan terdahulunya dalam rancangan Piers Morgan dan kenyataan lantangnya terhadap kelab menyebabkan Ronaldo meninggalkan Manchester United dalam keadaan tegang pada 2022.
Beliau kemudian menyertai Al Nassr di Arab Saudi dan terus menjaringkan gol secara konsisten. Ronaldo berkata, cuaca panas di Arab Saudi menjadikan lebih sukar untuk menjaringkan gol berbanding apa yang dikatakan oleh pengkritik.
“Bagi saya, lebih mudah untuk menjaringkan gol di Sepanyol berbanding di Arab,” kata bekas bintang Real Madrid itu. “Liga Saudi jauh lebih baik daripada liga Portugal, dan liga Perancis hanya ada PSG.”
Ronaldo juga menjelaskan keputusannya untuk tidak menghadiri pengebumian rakan sepasukan kebangsaan, Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada Julai.
Dia mahu perhatian kekal tertumpu kepada Jota dan keluarganya.
“Ke mana sahaja saya pergi, ia menjadi seperti sarkas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



