London: Cristiano Ronaldo berkata, bahawa sikap Erik ten Hag terlalu negatif, sambil mendesak pengurus Manchester United itu untuk mensasarkan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun kelab itu perlu ‘dibina semula dari bawah’.
Bintang Portugal, yang kini bermain untuk Al Nassr di Arab Saudi, bergaduh dengan Ten Hag sebelum tempoh keduanya di Old Trafford berakhir pada akhir 2022.
Ronaldo percaya bahawa bekas kelabnya memerlukan perubahan besar, tetapi Ten Hag tidak seharusnya menolak kemungkinan memenangi trofi utama dalam tempoh berkenaan.
Jurulatih dari Belanda itu mengatakan bahawa beliau ‘cukup yakin’ untuk meraih lebih banyak trofi musim ini selepas memenangi Piala Liga dan Piala FA dalam dua musim lalu.
Namun, beliau menyatakan pada Julai bahawa pasukannya masih ‘jauh’ dari bersedia untuk memenangi EPL, yang belum dimenangi sejak musim terakhir Alex Ferguson sebagai pengurus pada tahun 2013.
“Manchester, mereka perlu membina semula segala-galanya, pada pendapat saya,” kata Ronaldo dalam episod podcast Rio Ferdinand Presents yang akan disiarkan pada hari Khamis.
“Jurulatih, mereka kata mereka tidak boleh bersaing untuk memenangi liga dan Liga Juara-Juara. Jurulatih Manchester United, anda tidak boleh kata bahawa anda tidak akan berjuang untuk memenangi liga atau Liga Juara-Juara.
“Anda perlu, secara mental, katakan, dengar, mungkin kita tidak mempunyai potensi itu, tetapi saya tidak boleh kata begitu. Kita akan cuba. Anda perlu mencuba.”
United mengejutkan Manchester City dalam final Piala FA pada bulan Mei tetapi mereka mengalami kempen EPL terburuk musim lalu, menamatkan di tempat kelapan, dan juara 20 kali England itu kalah dalam dua daripada tiga perlawanan pembukaan musim ini.
“Kelab ini memerlukan masa untuk dibina semula kerana ia masih salah satu kelab terbaik di dunia, tetapi mereka perlu berubah,” kata Ronaldo.
“Mereka faham mengenai itu. Inilah satu-satunya cara. Inilah sebabnya mereka menunjukkan, mereka mula mengubah semula, struktur kelab, presiden, infrastruktur dan segala-galanya. Pemilik kelab.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




