Ronaldo bilionair bola sepak pertama dengan kekayaan RM5.9 bilion

Ronaldo bilionair bola sepak pertama dengan kekayaan RM5.9 bilion

London: Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi sejarah apabila menjadi bilionair bola sepak pertama dengan nilai kekayaannya kini mencecah AS$1.4 bilion (RM5.9 bilion), menurut Indeks Bilionair Bloomberg sekali gus mengatasi pesaing lamanya, Lionel Messi.

Sepanjang lebih dua dekad beraksi di beberapa kelab terbesar Eropah termasuk Real Madrid, Manchester United dan Juventus, bintang berusia 40 tahun dari Portugal itu memanfaatkan popularitinya melalui pelbagai kerjasama lumayan dengan jenama terkenal seperti Armani dan Nike (NKE).

Namun, pada penghujung kariernya sebagai pemain, beliau kini melonjak ke senarai teratas antara ahli sukan terkaya di dunia selepas menandatangani kontrak lanjutan pada Jun bersama pasukan Arab Saudi, Al-Nassr, yang dilaporkan bernilai lebih AS$400 juta (RM1.68b).

Kekayaan Ronaldo dibina melalui gabungan gaji lumayan, penajaan dan perniagaan peribadi.

Sepanjang kariernya, beliau dilaporkan meraih lebih AS$550 juta (RM2.31b) dalam bentuk gaji antara 2002 hingga 2023.

Perpindahan bersejarahnya ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr, pada 2023 membawanya gaji tahunan bebas cukai sebanyak AS$200 juta (RM843 juta) berserta bonus, selain bonus tandatangan bernilai AS$30 juta (RM126 juta). Awal tahun ini, beliau menandatangani lanjutan kontrak yang dilaporkan bernilai lebih AS$400 juta (RM1.68b), sekali gus melonjakkan pendapatannya dengan ketara.

Penajaan juga menjadi tunjang utama kepada kekayaannya. Perjanjian selama 10 tahun Ronaldo dengan Nike memberikan beliau pendapatan sekitar AS$18 juta (RM75j) setiap tahun.

Sementara itu, kerjasama CR7 dengan Armani, Castrol dan beberapa jenama besar lain telah menyumbang sekitar AS$175 juta (RM737j) kepada kekayaannya.

Di luar padang, empayar jenama CR7 milik Ronaldo merangkumi hotel, gimnasium, fesyen dan minyak wangi. Bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu turut memiliki beberapa hartanah mewah, termasuk resort golf dan banglo bernilai €20 juta (RM97j) berhampiran Quinta da Marinha, Lisbon.

Selain kejayaan kewangannya, Ronaldo terus mendominasi pentas global dari segi pengaruh. Dengan lebih 660 juta pengikut di Instagram, beliau kekal sebagai individu paling ramai diikuti di platform tersebut.

Walaupun Lionel Messi juga mengumpul kekayaan yang luar biasa, perpindahan Ronaldo ke Arab Saudi menjadikannya pemain bola sepak pertama mencapai status bilionair.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top