Ronaldo cipta rekod luar biasa lagi

Ronaldo cipta rekod luar biasa lagi

CRISTIANO Ronaldo muncul pemain pertama dalam sejarah bola sepak dunia yang berjaya meledak 100 gol kompetitif bersama empat kelab berbeza selepas menjaringkan gol ketika aksi final Piala Super Saudi menentang Al Ahli, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Al Nassr tetap hampa apabila tewas 3-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan di Stadium Hong Kong itu berakhir 2-2 dalam tempoh 90 minit.

Jaringan pada babak pertama itu menyaksikan Ronaldo yang kini berusia 40 tahun mencapai gol ke-100 bersama Al Nassr sejak menyertai kelab tersebut pada Disember 2022.

Rekod itu menambah kepada koleksi 450 golnya bersama Real Madrid, 145 gol di Manchester United dan 101 gol ketika bersama Juventus.

Ia sekali gus mengatasi tiga legenda terdahulu yang hanya mampu meledak 100 gol bersama tiga kelab Isidro Lángara (Sepanyol, 1930–1948), serta dua bintang Brazil, Romário dan Neymar.

Selain itu, Ronaldo yang masih belum merangkul trofi utama di Arab Saudi juga kekal sebagai penjaring terbanyak peringkat antarabangsa dengan 138 gol bersama Portugal.

Dalam aksi tersebut, pemenang lima kali Ballon d’Or itu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti minit ke-41 untuk meletakkan Al Nassr di hadapan, namun Franck Kessié pantas menyamakan kedudukan buat Al Ahli.

Tujuh minit sebelum tamat perlawanan, Marcelo Brozovic kembali meletakkan Al Nassr di depan, tetapi jaringan tandukan pemain pertahanan Brazil, Ibañez pada penghujung permainan mengheret aksi ke penentuan penalti.

Ronaldo sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti, namun rakan sepasukannya, Abdullah Al-Khaibari gagal berbuat demikian sebelum Al Ahli menutup saingan dengan kemenangan 5-3 untuk menjulang trofi pertama musim ini.

Scroll to Top