Dublin: Malam yang penuh mengecewakan buat Cristiano Ronaldo apabila kapten Portugal itu dilayangkan kad merah dalam kekalahan mengejut 0-2 kepada Ireland, sekali gus menangguhkan lagi peluang mereka untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia 2026.
Pertembungan di Stadium Aviva itu menyaksikan dua jaringan Troy Parrott pada babak pertama menghadiahkan kemenangan penuh bersejarah buat Ireland, yang kini kembali menghidupkan peluang ke Piala Dunia selepas kali terakhir layak pada 2002.
Portugal yang memasuki perlawanan sebagai pendahulu Kumpulan F, ternyata tidak mampu bangkit dan keadaan bertambah parah apabila Ronaldo diarah keluar padang selepas menghayunkan siku ke belakang badan Dara O’Shea pada minit ke-60.
Keputusan Video Bantuan Pengadil (VAR) mengesahkan insiden itu sebagai tindakan ganas.
Kad merah itu adalah kali ke-13 dalam karier Ronaldo, tetapi yang pertama sepanjang mewakili Portugal.
Ireland tampil dengan disiplin tinggi, menyerap tekanan Portugal dan memanfaatkan serangan balas dengan cukup berkesan.
Selepas 17 minit, Parrott menyambar hantaran Liam Scales untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Portugal cuba membalas, tetapi percubaan Joao Neves dan tandukan Joao Félix sekadar tersasar.
Pasukan tuan rumah hampir menggandakan kelebihan apabila Chiedozie Ogbene melepaskan rembatan yang mengenai tiang, sebelum Parrott akhirnya menjadikan kedudukan 2-0 tepat sebelum rehat dengan penyudah rendah menewaskan Diogo Costa.
“Ini malam terbaik dalam hidup saya. Saya tidak ada kata-kata untuk menggambarkannya,” kata Parrott kepada RTE.
Babak kedua menjadi lebih sukar untuk Portugal yang terpaksa menyerang habis-habisan, tetapi kehilangan Ronaldo membunuh momentum pasukan Roberto Martínez.
Penyerang berusia 40 tahun itu bukan sahaja menerima kad merah, tetapi turut menepuk tangan secara sinis ke arah penyokong tuan rumah sebelum meninggalkan padang dan sempat bertikam lidah dengan jurulatih Ireland, Heimir Hallgrímsson, sebelum kedua-duanya berjabat tangan akhirnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



