BINTANG sensasi Al-Nassr, Cristiano Ronaldo dilaporkan tetap meraih pendapatan lumayan mencecah jutaan ringgit meskipun sedang melancarkan mogok dan enggan beraksi untuk kelab Arab Saudi itu sejak 2 Februari lalu.
Situasi panas yang melanda Al-Nassr itu tidak menghalang bekas penyerang Manchester United berkenaan untuk terus mengaut keuntungan peribadi hasil daripada kontrak mewahnya.
Difahamkan, pemenang lima kali Ballon d’Or itu dibayar gaji mencecah €200 juta (RM930 juta) semusim oleh gergasi Liga Pro Saudi tersebut.
Jika dinilai secara purata untuk tempoh 52 minggu, pemain bernombor jersi tujuh itu menerima kira-kira €3.84 juta (RM17.87 juta) seminggu, menjadikan pendapatan hariannya sekitar RM2.55 juta.
Apa yang mengejutkan, sepanjang tempoh lima hari ‘bercuti’ akibat mogok tersebut, kapten Portugal itu dianggarkan telah mengaut keuntungan bersih sekitar RM12.75 juta tanpa perlu menyepak sebiji bola pun.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan ketegangan memuncak antara Ronaldo dengan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi, pihak liga dan pengurusan kelab.
Ronaldo didakwa bertindak sedemikian kerana merasakan PIF bersikap berat sebelah dan lebih memihak kepada kelab-kelab pesaing lain.
Malah, dia turut meluahkan rasa tidak puas hati dengan perbelanjaan rendah Al-Nassr dalam pasaran perpindahan pemain, yang didakwanya menjadi punca utama kegagalan pasukan itu meraih sebarang trofi rasmi sejak beliau berhijrah ke Timur Tengah pada penghujung 2022.
Protes tersebut menyebabkan Ronaldo enggan diturunkan dalam dua perlawanan terakhir kelab, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya di Arab Saudi.
Ringkasan AI
- Cristiano Ronaldo meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit meskipun mogok bermain untuk Al-Nassr sejak 2 Februari
- Ronaldo dibayar gaji sebanyak €200 juta (RM930 juta) semusim oleh Al-Nassr
- Pendapatan mingguannya adalah kira-kira €3.84 juta (RM17.87 juta), menjadikan pendapatan hariannya sekitar RM2.55 juta
- Sepanjang lima hari mogok, dia mengaut keuntungan bersih sekitar RM12.75 juta tanpa bermain
- Ronaldo mogok kerana merasakan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi berat sebelah dan tidak puas hati dengan perbelanjaan rendah Al-Nassr dalam pasaran perpindahan pemain


