Ronaldo ke Madrid bukan sebab perang, fokus rawatan

Ronaldo ke Madrid bukan sebab perang, fokus rawatan

Madrid: Perpindahan Cristiano Ronaldo dari Arab Saudi ke Madrid bukan disebabkan faktor keselamatan, sebaliknya bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan hamstring yang dialaminya.

Penyerang Al-Nassr itu kini menjalani rawatan bersama fisioterapi peribadi selepas mengalami kecederaan ketika membantu pasukannya menewaskan Al-Fayha 3-1 pada 28 Februari lalu.

Sebelum ini, pasangannya Georgina Rodriguez bersama anak-anak mereka meninggalkan Arab Saudi susulan ketegangan geopolitik di rantau itu, sebelum Ronaldo menyertai mereka di Sepanyol.

Namun laporan media Sepanyol menyatakan pemain berusia 41 tahun itu tidak melihat keluarganya berada dalam bahaya, sebaliknya mahu memastikan rutin harian anak-anaknya tidak terjejas.

Jurulatih Al-Nassr, Jorge Jesus, mengakui kecederaan dialami Ronaldo lebih serius daripada jangkaan awal.

“Kecederaan Cristiano lebih serius daripada yang kami jangkakan. Dia akan ke Sepanyol untuk mendapatkan rawatan bersama ahli terapi peribadi seperti yang dilakukan ramai pemain. Kami berharap dia dapat kembali secepat mungkin dan membantu pasukan,” katanya.

Ronaldo, yang sudah terlepas dua perlawanan bulan ini, dijangka kembali beraksi menentang Al-Najma pada 3 April.

Dalam perkembangan sama, Ronaldo turut dilaporkan mahu kelabnya mendapatkan khidmat rakan senegara, Bruno Fernandes dari Manchester United menjelang jendela perpindahan akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top