Ronaldo kecewa kemenangan Al-Nassr seolah 'dirompak'

Ronaldo kecewa kemenangan Al-Nassr seolah 'dirompak'

Riyadh: Cristiano Ronaldo menjadi tumpuan utama ketika kekalahan 1-3 Al-Nassr kepada Al-Hilal pada pertembungan besar Liga Pro Saudi (SPL).

Selepas perlawanan, bintang Portugal itu dirakam membuat isyarat jelas terhadap pengadil seolah-olah menegaskan pasukannya sudah “dirompak,” detik yang pantas tular di media sosial.

Al-Nassr mengawal permainan pada awalnya, menguasai tempo dan mencipta beberapa peluang, sebelum Ronaldo meledak gol pada minit ke-42 hasil hantaran tepat Kingsley Coman, memberi kelebihan yang wajar kepada pelawat.

Momentum berubah pada awal babak kedua apabila pemain pertahanan Mohamed Simakan menjatuhkan Malcom dalam kotak penalti, membolehkan Salem Al-Dawsari menyempurnakan penalti dengan tenang.

Kekacauan berlaku tidak lama kemudian apabila penjaga gol Nawaf Al-Aqidi mengasari Ruben Neves ketika cuba mengeluarkan bola dari gol, memaksa pengadil Francois Letexier menilai insiden melalui VAR dan melayangkan kad merah, keputusan yang mengubah perlawanan secara dramatik.

Al-Hilal menutup kebangkitan pada minit ke-81 apabila Mohamed Kanno menanduk masuk hantaran Neves.

Tidak lama kemudian, Ronaldo digantikan dengan Wesley, meninggalkan padang dengan penuh kecewa.

Penalti kedua diberikan selepas satu lagi kesalahan terhadap Al-Dawsari, yang disempurnakan Neves untuk menamatkan perlawanan.

Ketika Neves meraikan gol penalti itu, kamera televisyen terarah kepada Ronaldo yang melambai tangan dengan senyuman sinis, satu tanda protes jelas terhadap pengadil.

Kapten Al-Nassr itu seolah-olah mahu menyampaikan mesej pasukannya dizalimi dalam perlawanan penentu yang membolehkan Al-Hilal meraih kedudukan teratas SPL dengan selesa.

Ini tugasan pertama Letexier sebagai pengadil SPL, selepas reputasinya dibina di Ligue 1 dan pentas Eropah.

Prestasi Letexier tidak disenangi Ronaldo dan isyarat pemain bintang itu selepas wisel penamat kini boleh mencetus tindakan disiplin.

Mengikut peraturan SPL, menuduh pengadil “dibeli” atau “menipu” melebihi rungutan biasa dan dianggap menjejaskan integriti.

Akibatnya, tindakan Ronaldo boleh diklasifikasikan sebagai “kesalahan serius” kerana “menyerang maruah atau integriti pegawai perlawanan.”

Hukuman berpotensi termasuk penggantungan dua hingga empat perlawanan dan denda antara 20,000 Saudi Riyal (RM21,653) hingga 40,000 Saudi Riyal (RM43,307).

Insiden serupa berlaku pada April 2024 ketika separuh akhir Piala Super Saudi apabila Ronaldo dilayangkan kad merah kerana menumbuk pemain Al-Hilal.

Selepas itu, dia menumbuk ke udara dan membuat isyarat ke arah pengadil Mohammed Al-Huwaish, menyebabkan jawatankuasa disiplin mengenakan penggantungan dua perlawanan dan denda 20,000 Saudi Riyal, dengan laporan pengadil menggambarkan tingkah laku Ronaldo sebagai “tidak bermaruah.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top