CRISTIANO Ronaldo berdepan kemungkinan kehilangan enam gol dalam usahanya memburu rekod 1,000 jaringan sepanjang karier profesional.
Terbaharu, Ronaldo dilaporkan telah meningkatkan jumlah jaringan kepada 967 gol selepas meledak dua gol ketika membantu Al Nassr menewaskan Al Najma 5-2 dalam aksi Liga Pro Saudi.
Namun, timbul polemik apabila beberapa laman statistik bola sepak mendakwa jumlah rasmi sebenar adalah 961 gol sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak.
Isu berkenaan berkait dengan enam gol yang dijaringkan Ronaldo dalam kejohanan Piala Juara-Juara Kelab Arab 2023.
Menurut portal statistik bola sepak terkenal, Transfermarkt, kejohanan tersebut tidak diiktiraf secara rasmi oleh FIFA yang diklasifikasikan sebagai kejohanan pra-musim.
Wakil Transfermarkt di Portugal, Goncalo Tristao Santos menjelaskan bahawa hanya kejohanan yang diiktiraf FIFA akan diambil kira dalam rekod rasmi.
“Enam gol itu dijaringkan dalam kejohanan musim 2023-2024, namun masalahnya ia tidak diiktiraf FIFA. Kami hanya mengambil kira kejohanan rasmi.
“Jalan penyelesaian terbaik adalah FIFA sendiri perlu memberikan penjelasan rasmi mengenai perkara ini,” katanya kepada media Portugal, A Bola.
Dia turut memaklumkan bahawa tiada sebarang penjelasan rasmi daripada FIFA setakat ini sambil menegaskan kontroversi tersebut dijangka berterusan terutama apabila Ronaldo semakin menghampiri pencapaian 1,000 gol.
Bagi memastikan Ronaldo mencapai angka empat digit tanpa sebarang pertikaian, Ronaldo perlu menjaringkan sekurang-kurangnya 1,006 gol secara keseluruhan.
Musim ini, Ronaldo dijangka mengharungi maksimum 10 lagi perlawanan bersama Al Nassr, selain lapan aksi antarabangsa bersama Portugal sekali gus memberi bayangan dia mungkin perlu terus beraksi sehingga musim 2026-2027 bagi merealisasikan impian tersebut.



