Ronaldo perlukan 61 gol lagi lengkapkan misi 1,000 gol

Ronaldo perlukan 61 gol lagi lengkapkan misi 1,000 gol

CRISTIANO Ronaldo bukan lagi asing dengan pencapaian bersejarah dan musim ini bintang Portugal itu sekali lagi memburu kejayaan baharu dalam saingan Liga Pro Arab Saudi.

Sejak tiba di Al Nassr pada Disember 2022, Ronaldo kekal sebagai mesin pencetak gol dengan rekod hampir satu jaringan setiap perlawanan.

Dalam 77 aksi liga, kapten Al Nassr itu telah meledak 74 gol sekali gus menjadi angka luar biasa bagi seorang pemain yang sudah mencecah usia 40 tahun.

Ia mungkin mengejutkan bagi sesetengah pihak, namun tidak bagi mereka yang mengenali standard tinggi yang ditetapkan legenda Real Madrid itu terhadap dirinya sendiri serta rakan sepasukan.

Disiplin tanpa kompromi itu membuahkan hasil apabila Ronaldo merangkul kasut emas dua musim berturut-turut termasuk musim 2023-24 yang menyaksikan 35 golnya mencipta rekod baharu musim tunggal liga.

Memasuki musim penuh ketiga bersama Al Nassr, Ronaldo mahu menempatkan namanya dalam kelompok legenda liga tersebut yang pernah menggenggam tiga kali gelaran penjaring terbanyak.

Hanya tiga pemain sebelum ini berjaya melakukannya iaitu Nasser Al Shamrani, Omar Al Somah dan Abderrazak Hamdallah.

Al Shamrani kekal unggul sebagai satu-satunya pemain yang meraih kasut emas sebanyak empat kali, manakala Hamdallah (2018-19, 2019-20, 2022-23) kini memburu sejarahnya sendiri apabila berada di tangga kedua penjaring sepanjang zaman, lima gol di belakang Al Somah yang merekodkan 155 gol dan tiga musim berturut-turut sebagai penjaring terbanyak (2014-2017).

Bagi Ronaldo, misi kali ini jelas iaitu menyamai pencapaian tersebut sambil terus mengukuhkan legasinya di bumi Saudi.

Tambahan pula, dengan kontrak baharu sehingga 2027, motivasinya kekal membara. Malah, musim ini Ronaldo akan dikelilingi wajah-wajah baharu selepas Al Nassr membawa masuk Joao Felix, Inigo Martinez dan Kingsley Coman selain dibimbing pengendali berpengalaman Jorge Jesus.

Persiapan pra-musim di Austria, Portugal dan Sepanyol turut memberi bayangan positif apabila Ronaldo menjaringkan enam gol dalam tiga perlawanan termasuk hatrik menentang Rio Ave.

Walaupun Al Nassr kecundang kepada Al Ahli dalam penentuan penalti di final Piala Super Saudi minggu lalu, Ronaldo tetap membuktikan ketajamannya dengan membuka jaringan dalam perlawanan itu.

Lebih menarik, gandingannya bersama Felix menunjukkan potensi besar untuk menjadi kombinasi berbisa musim ini.

Selain kejuaraan bersama kelab, Ronaldo juga tidak melupakan misi peribadi iaitu memburu 1,000 gol sepanjang karier.

Ketika ini, beliau sudah meledak 939 gol hanya berbaki 61 jaringan untuk mencapai angka bersejarah itu.

Scroll to Top