KAPTEN Al-Nassr, dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo bakal dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Maradona untuk Penjaring Gol Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Dubai Globe yang akan diadakan pada 19 Januari ini.
Ronaldo merangkul anugerah itu mengatasi pesaing Kylian Mbappe, Harry Kane dan Erling Haaland sekali gus menambah pencapaian terhebat dalam senarai kejayaan individunya.
Anugerah terbaharu Ronaldo itu memastikan dia terus berada pada tahap terbaik selepas menjaringkan 34 gol dalam perlawanan liga untuk memastikan cabaran kejuaraan Liga Pro Saudi untuk pasukannya, Al-Nassr.
Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dengan 873 gol itu turut bersaing untuk mendapatkan Pemain Lelaki Terbaik, Pemain Timur Tengah Terbaik dan Pemain Kegemaran Peminat dalam anugerah tersebut.