Ronaldo tiada perancangan ke Piala Dunia Kelab

Ronaldo tiada perancangan ke Piala Dunia Kelab

PENYERANG Al-Nassr dan Portugal, Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai perancangan untuk beraksi di Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat, biarpun menerima lamaran daripada beberapa kelab yang akan menyertai kejohanan yang diperluaskan kepada 32 pasukan itu.

Spekulasi mengenai masa depan pemain berusia 40 tahun itu semakin memuncak bulan lalu apabila Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, menyatakan bahawa perbincangan sedang dijalankan mengenai penyertaan Ronaldo dalam Piala Dunia Kelab, biarpun Al-Nassr gagal melayakkan diri.

Pengarah Sukan Al-Nassr, Fernando Hierro, pada bulan lalu turut mendedahkan bahawa mereka sedang berunding dengan Ronaldo mengenai lanjutan kontrak, namun berdepan persaingan sengit daripada pelbagai kelab yang berminat untuk mendapatkan pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu.

Ronaldo sendiri menambah ketidakpastian mengenai masa depannya selepas perlawanan terakhir Al-Nassr menentang Al-Fateh musim ini dengan memuat naik hantaran di media sosial: “Bab ini sudah tamat. Kisahnya? Masih dalam pembikinan.”

Apabila ditanya mengenai kemungkinan menyertai kelab lain dalam beberapa hari akan datang untuk beraksi di Piala Dunia Kelab pada akhir bulan ini, Ronaldo memberitahu pemberita:

“Ia tidak relevan, buat masa ini tidak masuk akal untuk bercakap mengenai perkara lain selain pasukan kebangsaan.

“Terdapat banyak hubungan (daripada kelab), saya melihat perkara yang masuk akal, yang lain tidak. Anda tidak boleh pergi ke semua kelab, anda perlu berfikir untuk jangka pendek, sederhana dan panjang.

“Ia adalah sesuatu yang praktikalnya telah diputuskan di pihak saya, iaitu tidak pergi ke Piala Dunia Kelab, tetapi saya telah menerima banyak jemputan.”

Pada Rabu lalu, Ronaldo menjaringkan gol kemenangan ketika Portugal menewaskan Jerman 2-1 untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Negara-Negara menentang Sepanyol di Allianz Arena pada Isnin.

Sementara itu, ramai pihak menyifatkan final tersebut sebagai pertarungan antara Ronaldo dan sensasi muda Barcelona berusia 17 tahun, Lamine Yamal, namun penyerang Portugal itu tidak melihatnya sedemikian.

“Ia sentiasa begitu. Setiap kali saya bermain bola sepak, setiap kali saya bermain perlawanan besar, ia sentiasa Cristiano menentang yang ini, menentang yang itu. Ia sudah lebih 20 tahun dan masih sama. Ia tidak lagi mengganggu tidur saya, ia adalah perkara biasa.

“Mereka adalah generasi yang sama sekali berbeza – satu generasi yang baru bermula, satu lagi yang akan berakhir, iaitu kes saya.

“Pada hakikatnya ia tidak begitu. Ia adalah pasukan menentang pasukan. Ia akan sentiasa begitu. Apa yang paling saya inginkan ialah Portugal berada pada tahap yang baik, yakin bahawa perkara boleh berjalan lancar, bahawa kami boleh bermain perlawanan yang hebat dan menang menentang pasukan yang sangat bagus, mungkin yang terbaik di dunia,” katanya.

Scroll to Top